Isnin, 28 Februari 2022 | 3:22pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Program stabil, seragam harga perlu berterusan

KUALA LUMPUR: Program penstabilan dan penyeragaman harga perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan juga perlu terus melaksanakan program pengedaran barangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kos barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.

"Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik.

"Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Baginda berkata, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

"Usaha ini juga selaras aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat," titah baginda.

Baginda juga menekankan kepentingan pembangunan rangkaian keterhubungan dan kebolehcapaian jaringan jalan raya sedia ada.

"Beta mengalu-alukan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 yang dirangka untuk mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya bagi melengkapkan sistem jaringan perhubungan yang lebih baik.

"Projek pembinaan lebuh raya seperti Central Spine Road (CSR),West Coast Expressway (WCE), Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak bakal mampu memacu pembangunan wilayah serta pertumbuhan ekonomi setempat," titah baginda.

Pada masa sama, baginda menggesa pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak dipercepatkan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke wilayah Kalimantan

"Beta menyokong usaha kerajaan membangunkan projek infrastruktur rel mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru - Singapura dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).

"Pelaksanaan projek strategik ini bakal memberi keselesaan, ketersambungan ke pelbagai lokasi dan bakal menghasilkan limpahan pembangunan ke semua wilayah, seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat," titah baginda.

Berita Harian X