Isnin, 28 Februari 2022 | 2:58pm

Budaya amalan, nilai murni di sekolah terus diperkukuh

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengukuh dan menyokong pembelajaran menerusi pembudayaan amalan serta nilai murni dan persekitaran sekolah yang selamat serta kondusif.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri'ayatuddin Al-Mutafa Billah bertitah, baginda menyambut baik inisiatif Sekolahku Sejahtera untuk dilaksanakan ke arah membentuk kemenjadian murid.

"Semua pihak sewajarnya menyokong usaha dilakukan demi merapatkan jurang pembelajaran murid yang wujud akibat pandemik COVID-19.

"Jalinan kerjasama baik dan positif perlu terus diwujudkan dan disokong bagi memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada anak-anak kita," titah baginda ketika merasmikan Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong usaha kerajaan membangunkan Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi (SEJAHTERA IPT) dalam memastikan kecemerlangan pendidikan tinggi pascapandemik.

"Beta menyambut baik usaha seperti penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET), pelancaran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021-2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021-2025 yang semuanya menjadi naratif baharu bagi melahirkan graduan holistik dan seimbang," titah baginda.

Pada masa sama, baginda bertitah, selaras dengan perubahan pesat dunia pekerjaan dan kewujudan peluang pekerjaan baharu termasuk ekonomi gig yang semakin terbuka luas, pekerja perlu diberi latihan kemahiran insaniah dan kognitif.

Langkah ini, titah baginda, bagi memastikan ekosistem pekerjaan kekal berdaya saing.

"Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan undang-undang perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja serta menggalakkan majikan dan pekerja mengikuti latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran," titah baginda.

Berita Harian X