Isnin, 28 Februari 2022 | 2:49pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama

Agong bimbang wujud aliran pemikiran kelirukan rakyat

KUALA LUMPUR: Al-Sultan Ri'ayatuddin Al-Mutafa Billah menzahirkan kebimbangan dengan pelbagai fahaman dan aliran pemikiran yang mengelirukan masyarakat Islam.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda juga bimbang dengan tindakan sesetengah pihak untuk menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan adat dan amalan agama di negara ini.

"Justeru, beta menyeru masyarakat dididik mengenai bahayanya aliran itu.

"Fahaman dan aliran pemikiran ini perlu dikawal melalui tindakan berfokus dan strategik membabitkan semua pihak berkuasa agama, keselamatan serta pihak lain yang bertanggungjawab," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Baginda bertitah, dalam memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara, perpaduan nasional harus terus menjadi agenda utama negara.

"Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat menghormati perlu menjadi tanggungjawab seluruh rakyat.

"Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif," titah baginda.

Turut dibangkitkan Yang di-Pertuan Agong mengenai keutamaan perlu sentiasa diberikan kepada tahap keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan serta pertahanan negara.

Titah baginda, ia termasuk usaha memperkukuh pembangunan kapasiti, perolehan aset baharu, penyelenggaraan dan menaik taraf aset keselamatan negara.

"Langkah ini perlu supaya negara sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk berdepan sebarang ancaman dari dalam dan luar negara.

"Konsep pertahanan menyeluruh juga perlu diperkukuh melalui platform kerjasama dua hala dan pelbagai hala supaya keselamatan serta kedaulatan negara kekal terpelihara.

"Beta mengucapkan syabas atas kejayaan Malaysia terpilih buat kali ketiga untuk menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022 hingga 2024," titah baginda.

Pemilihan ini, titah baginda menjadi cerminan kepercayaan masyarakat antarabangsa atas kewibawaan diplomasi Malaysia.

"Dalam hal ini, Malaysia perlu mengambil peluang bagi memastikan kepentingan negara terus dipertahankan, selain berperanan aktif dalam menyuarakan kepentingan negara kecil dan golongan tertindas.

"Beta percaya hubungan antarabangsa Malaysia akan terus menyerlah dengan pelaksanaan Kerangka Dasar Luar Negeri.

"Penekanan dan pendekatan baharu terhadap perkara penting yang merangkumi diplomasi kesihatan, ekonomi digital, diplomasi kebudayaan, keselamatan siber dan kewujudan bersama dalam keamanan perlu terus diberi tumpuan," titah baginda.

Berita Harian X