Isnin, 28 Februari 2022 | 2:14pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Mekanisme pengurusan banjir perlu sentiasa ditambah baik - Agong

KUALA LUMPUR: Mekanisme pengurusan bencana perlu sentiasa ditambah baik kerana kemerosotan alam sekitar dan fenomena perubahan iklim memberi ancaman kepada dunia dan kesejahteraan manusia.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri'ayatuddin Al-Mutafa Billah bertitah, bagi menghadapi ketidaktentuan pada masa depan, pengurusan bencana ini perlu membabitkan peranan dan tanggungjawab rentas sosial termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan sukarelawan terutama dalam kalangan belia serta rakyat biasa.

"Pada masa sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilaksanakan secara berterusan.

"Pembangunan sistem amaran bencana berpusat dan peningkatan sistem saliran terutama di kawasan berpenduduk padat khususnya di lokasi berisiko tinggi berlaku bencana perlu terus dipergiatkan," titah baginda pada perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Baginda bertitah, langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir seperti diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat perlu segera dilaksanakan.

Selain itu, baginda mahu pelaksanaan kerja pembersihan awam dan penyenggaraan kemudahan tebatan banjir dilakukan secara berkala.

"Perlindungan dan kelestarian alam sekitar mesti diutamakan. Rakyat perlu sentiasa cakna dan mengambil berat kepentingan dalam memastikan kebersihan serta keselamatan di kawasan persekitaran masing-masing.

"Beta meminta kerajaan dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok melalui pelaksanaan amalan pengurusan hutan secara berkekalan.

"Selain itu, kawasan yang berpotensi diiktiraf sebagai geopark perlu dikekalkan dan dipelihara," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, selaras dengan aspirasi untuk mencapai sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang tahun 2050, strategi pertumbuhan hijau yang bakal dilaksanakan ialah penerima gunaan ekonomi kitaran, pembangunan rendah karbon serta pengukuhan tindakan daya tahan perubahan iklim dan bencana termasuk faktor geologi.

"Beta percaya strategi yang dirangka itu akan menjadikan ekonomi lebih mampan, inovatif dan berdaya saing serta mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi yang baharu," titah baginda.

Berita Harian X