Isnin, 28 Februari 2022 | 1:35pm

Kerajaan perlu tumpu usaha basmi kemiskinan tegar

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan perlu menumpukan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu dengan pelbagai pendekatan.

Justeru, baginda bertitah, semua pihak perlu menggembleng tenaga dan memberikan komitmen tinggi supaya taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan mampan.

"Beta turut menyambut baik usaha diterajui Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang memberi dimensi baharu dalam mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara.

"Program perlindungan sosial sedia ada juga wajar diperkukuh dan disusun semula bagi mendepani cabaran yang boleh menjejaskan kualiti hidup serta potensi pembangunan masa hadapan," titah baginda ketika merasmikan Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Pada masa sama, baginda mahu usaha pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta bencana banjir diambil perhatian penting dan kritikal.

Titah baginda, kumpulan khusus seperti penjaja dan peniaga kecil, wanita, belia, graduan, kumpulan B40 termasuk asnaf serta golongan hilang pekerjaan perlu terus dibantu melalui program bimbingan keusahawanan dan pembiayaan yang bersesuaian demi kelangsungan hidup.

"Pendigitalan operasi akan terus diperkukuhkan untuk membantu usahawan tempatan bangkit semula dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat serta pembangunan ekonomi negara.

"Matlamat untuk membina bangsa usahawan dan menjadikan Malaysia negara keusahawanan unggul akan dapat dicapai melalui inisiatif menerusi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030)," titah baginda.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah mahu pemulihan industri pelancongan segera dilaksanakan bagi mengekalkan kemampanan industri berkenaan.

"Aktiviti pelancongan norma baharu pascapandemik perlu dirangka bagi memberi peluang rakyat berlibur, selain membudayakan pelancongan selamat kepada semua.

"Bagi mencapai tujuan ini, tumpuan bukan hanya perlu diberi kepada pelancongan domestik saja, malah perlu juga meneroka peluang kembali menerima pelancong asing ke Malaysia sebagai satu daripada usaha mempercepatkan lagi pemulihan industri pelancongan negara," titah baginda.

Baginda bertitah, norma baharu pascapandemik COVID-19 turut memerlukan masyarakat mengadaptasi pemerkasaan ekosistem ekonomi digital di setiap peringkat perkhidmatan merentasi sektor.

"Justeru, beta menyambut baik usaha kerajaan membangunkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menambah baik dan mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara.

"Pelaksanaan MyDIGITAL melalui pelbagai inisiatif terutamanya melalui transformasi Pusat Internet Komuniti ke Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia dan perluasannya ke pelbagai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mencipta nilai baharu," titah baginda.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X