Isnin, 28 Februari 2022 | 1:26pm

'Pergiatkan sektor agromakanan negara'

KUALA LUMPUR: Pembangunan sektor agromakanan perlu terus dipergiatkan bagi meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak dan nelayan, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, inisiatif melalui Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) berpotensi untuk meningkatkan hasil dan mutu padi tempatan yang boleh membawa golongan pesawah keluar daripada garis kemiskinan.

"Beta turut menyambut baik usaha kerajaan mengukuhkan sekuriti makanan negara melalui kerjasama pada peringkat Persekutuan dan negeri berlandaskan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025).

"Sektor agromakanan negara menunjukkan peningkatan yang mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat angka sebanyak lima peratus dengan sumbangan sebanyak 4.4 peratus dengan nilai eksport sebanyak RM27.7 bilion bagi tempoh sehingga suku ketiga tahun 2021," titah baginda ketika merasmikan Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Baginda bertitah, pembangunan sektor agromakanan perlu terus dipergiatkan menerusi pemerkasaan kaedah pemasaran yang berkesan dan tidak dieksploitasi orang tengah.

"Sektor agrikomoditi juga turut menyumbang RM61.98 bilion bagi tempoh sehingga suku ketiga tahun 2021 dengan jumlah eksport sehingga Oktober 2021 sebanyak RM209.5 bilion.

"Peningkatan ini selari dengan agenda pembangunan ekonomi nasional dan aktiviti ekonomi yang kini beralih kepada sektor pembuatan bernilai tambah tinggi dan perkhidmatan.

"Pelaksanaan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 akan menjadi garis panduan kepada pemain industri untuk memperkukuh sumbangan sektor agrikomoditi kepada pertumbuhan ekonomi negara," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, bagi memastikan rakyat tidak terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan kos barangan keperluan harian, program penstabilan dan penyeragaman harga, program pengedaran barangan serta penguatkuasaan yang berterusan perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

"Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik.

"Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.

"Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan. Usaha ini juga selaras aspirasi menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat beta," titah baginda.

Berita Harian X