Isnin, 28 Februari 2022 | 12:22pm

Pelihara kesihatan mental, amal budaya hidup sihat - Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental Tahun 2020-2025 yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Baginda bertitah, pelbagai langkah intervensi dan bantuan kepada golongan terkesan dalam pelan itu sangat dihargai.

"Beta menyeru rakyat terus memelihara kesihatan termasuk kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat.

"Beta juga menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara dalam mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa depan," titah baginda pada perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi.

Baginda bertitah, selaras dengan aspirasi itu, pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

"Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik, biosains dan angkasa," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama
Berita Harian X