Isnin, 28 Februari 2022 | 12:07pm

'Dos penggalak benteng hadapi varian baharu'

roha@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Rakyat digesa mendapatkan vaksin dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum, sekali gus menjadi benteng dalam menghadapi varian baharu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tindakan afirmatif kerajaan mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti serta Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan sangat disokong pelaksanaannya.

"Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sektor sosial boleh direalisasikan secara selamat," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia.

Berita Harian X