KOTA BHARU: Banjir Kelantan di Kelantan semakin buruk apabila seramai 6,316 mangsa dipindahkan sehingga jam 6 petang tadi.
Kesemua mangsa membabitkan 2,092 keluarga itu ditempatkan di 64 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah. Ia membabitkan daerah Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Machang.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 3,433 orang yang berpindah ke 14 PPS.
Kuala Krai pula merekodkan 1,173 mangsa ditempatkan di 16 PPS, diikuti Tanah Merah dengan 673 mangsa di 15 PPS dan Jeli membabitkan 636 mangsa di lapan PPS.
Pasir Puteh pula merekodkan 206 mangsa yang ditempatkan di enam PPS, Machang dengan 172 mangsa di tiga PPS dan Kota Bharu dengan 13 mangsa di satu PPS.
Sementara itu, berdasarkan eBanjir Kelantan, sebanyak 24 laluan ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan berikutan jalan berkenaan dinaiki air.