Ahad, 27 Februari 2022 | 10:39am
Kanak-kanak menerima vaksin dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 (PICKids) di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Kanak-kanak menerima vaksin dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 (PICKids) di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Lebih 800,000 populasi kanak-kanak di Malaysia terima vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Sebanyak 805,676 individu atau 22.7 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,517,869 atau 61.7 peratus populasi dewasa di dalam negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,948,037 atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,227,580 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,800,421 individu atau 90 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,893,860 atau 93 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 118,275 dos vaksin telah diberikan semalam membabitkan 54,858 suntikan dos pertama, 577 suntikan dos lengkap dan 62,840 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 66,986,213 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 43 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Sabah melaporkan sembilan kes, diikuti Selangor dengan lapan kes, Johor (tujuh), enam kes di Perak, Kedah (lima), dua kes masing-masing di Kelantan dan Pahang manakala satu kes masing-masing di Melaka, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur. – BERNAMA

Berita Harian X