Ahad, 27 Februari 2022 | 10:14am

Kumpulan BPHB catat perolehan operasi RM728.39 juta

KUCHING: Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) mencatat peningkatan perolehan operasi sebanyak 2.98 peratus kepada RM728.39 juta bagi tempoh

12 bulan berakhir 31 Disember 2021, berbanding RM707.31 juta bagi tempoh sama pada 2020.

Menurut BPHB dalam satu kenyataan, hari ini, perolehan dijana daripada perkhidmatan pelabuhan di Pelabuhan Bintulu adalah sebanyak RM548.12 juta, berbanding RM549.82 juta dalam tempoh 12 bulan tahun sebelumnya.

Katanya, Pelabuhan Samalaju menjana perolehan sebanyak RM136.90 juta berbanding RM111.08 juta, manakala perolehan daripada kemudahan pukal minyak sawit adalah RM43.37 juta berbanding RM46.42 juta dalam tempoh yang sama.

Perbelanjaan bagi tempoh 2021 pula berjumlah RM633.13 juta, meningkat 3.26 peratus berbanding RM613.13 juta pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan perbelanjaan adalah disebabkan pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan pelabuhan, peningkatan kos susutnilai hak penggunaan aset yang diiktiraf mengikut MFRS 16: Sewapajak bagi penyewaan tambahan bot-bot tunda untuk operasi pelabuhan dan sewapajak tambahan ke atas jeti gas cecair asli (LPG)," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun persekitaran mencabar disebabkan penularan semula COVID-19 kepada rantaian sektor logistik pada 2021, keuntungan sebelum cukai Kumpulan BPHB yang dicapai bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM126.32 juta adalah setanding tahun kewangan berakhir 2020 sebanyak RM126.67 juta.

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, keuntungan selepas cukai Kumpulan BPHB meningkat kepada RM363.19 juta daripada RM93.30 juta pada tahun sebelumnya disebabkan pengiktirafan 'one-off' aset cukai tertunda berjumlah RM264.52 juta daripada pengiraan elaun cukai pelaburan yang belum diguna pakai oleh Samalaju Industrial Port Sdn Bhd," katanya.

Selain itu, katanya, perolehan sesaham Kumpulan BPHB meningkat kepada 78.95 sen berbanding 20.28 sen dalam tempoh tinjauan.

"Bagi suku keempat 2021, Kumpulan BPHB mengisytiharkan dividen interim setingkat keempat sebanyak 3.00 sen sesaham, yang akan dibayar pada 14 April 2022.

"Jumlah dividen yang diisytiharkan hingga 31 Disember 2021 adalah sebanyak 12.00 sen sesaham berbanding 10.00 sen sesaham pada tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan, dalam tempoh 12 bulan 2021, keseluruhan pengeluaran kargo dalam Kumpulan BPHB mencapai 47.16 juta tan, turun 0.93 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bagi tahun 2022, Kumpulan BPHB menjangka ada momentum positif pada pengeluaran kargo daripada sektor LNG, minyak sawit, pukal kering dan kontena, dengan andaian ekonomi global terus pulih secara beransur-ansur daripada kesan wabak COVID-19.

"Kumpulan BPHB kekal siap siaga dan terus berusaha untuk mencapai misi syarikat, iaitu memberikan kecemerlangan operasi dan memastikan kelestarian jangka panjang berdasarkan 3P, iaitu 'profit' (keuntungan), 'people' (masyarakat) dan planet," katanya.

Berita Harian X