Ahad, 27 Februari 2022 | 9:35am

3 sungai utama di Kelantan lepasi paras bahaya

KOTA BHARU: Tiga sungai utama di Kelantan terus melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah, dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang.

Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini meningkat kepada 10.52 meter (m) berbanding 10.41 semalam.

Keadaan hujan lebat berserta angin menyebabkan paras air naik dan beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dilanda banjir.

Paras Sungai Golok di Jenob pula mencatat bacaan 24.47m, manakala Sungai Kelantan di Kampung Temangan pula 21.34m).

Tiga sungai lain melepasi paras amaran, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai (24.21m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah (15.86m), dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (4.10m).

Enam sungai lagi melepasi paras waspada, Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (32.45m); Sungai Lebir, Kampung Karangan (29.03m); Sungai Pergau, Jeli (71.60m); Sungai Lanas, Air Lanas, Jeli (28.95m); Sungai Kelantan, Jeti Kastam, Kota Bharu (3.46m), dan Sungai Semerak, Pasir Puteh (2.13m).

Semalam, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya) dijangka berlaku di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, hingga hari ini.

Selain itu, hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Jeli dan Kuala Krai dalam tempoh 24 jam.

(Gambar fail) NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X