Sabtu, 26 Februari 2022 | 3:03pm

Bah Terengganu makin buruk, mangsa dipindahkan bertambah

KUALA TERENGGANU: Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 3,229 orang di lima daerah setakat jam 2 petang tadi.

Mangsa membabitkan keseluruhan 896 keluarga yang ditempatkan di 63 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Setiu, bertambah berbanding hanya 2,598 daripada 752 keluarga di 59 PPS setakat 12 tengah hari tadi.

Penduduk meredah banjir di Setiu. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Penduduk meredah banjir di Setiu. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, banjir di Kemaman semakin buruk apabila jumlah mangsa semakin bertambah dan 21 PPS diaktifkan bagi menempatkan 1,914 penduduk daripada 518 keluarga, meningkat daripada 1,384 mangsa membabitkan 386 keluarga di 19 setakat tengah hari.

Di Hulu Terengganu, 493 mangsa daripada 156 keluarga berada di 14 PPS, manakala di Besut, jumlah mangsa turut meningkat apabila 105 keluarga membabitkan 466 penduduk berada di 13 PPS setakat jam 2 petang, berbanding 435 mangsa daripada 99 keluarga di 13 PPS tengah hari tadi.

Hujan lebat sejak semalam menyebabkan banjir di Kampung Matang, Hulu Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI
Hujan lebat sejak semalam menyebabkan banjir di Kampung Matang, Hulu Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI

Jumlah penduduk dipindahkan di Setiu bagaimanapun tidak berubah, kekal dengan 297 mangsa daripada 103 keluarga di 10 PPS, manakala di Dungun, 59 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke lima PPS.

Keadaan cuaca semasa masih hujan lebat di kebanyakan daerah.

Hujan lebat sejak semalam menyebabkan banjir di Kampung Matang, Hulu Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI
Hujan lebat sejak semalam menyebabkan banjir di Kampung Matang, Hulu Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI

Penduduk meredah banjir di Setiu. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Penduduk meredah banjir di Setiu. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Berita Harian X