Sabtu, 26 Februari 2022 | 1:25pm
Abdullah Awang Noh, 64, menggunakan bot untuk keluar dari perkarangan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Gual To' Deh, Rantau Panang, bermula petang semalam.- NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Abdullah Awang Noh, 64, menggunakan bot untuk keluar dari perkarangan rumahnya yang dinaiki air di Kampung Gual To' Deh, Rantau Panang, bermula petang semalam.- NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Kelantan siap siaga hadapi banjir

KOTA BHARU: Jentera kerajaan negeri bersiap siaga membantu mangsa banjir di Kelantan dengan kerjasama bersepadu pasukan keselamatan, wakil rakyat dan sukarelawan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia bagi memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan keperluan asas banjir kepada penduduk terjejas berjalan lancar.

Katanya, bilik gerakan banjir di bawah Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) setiap jajahan sudah berada dalam keadaan siap sedia.

"Ia berikutan hujan lebat berterusan dan angin kencang berdasarkan laporan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Kelantan berdepan banjir terutama di jajahan Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Gua Musang dan Kuala Krai.

"Sehingga jam 10 pagi tadi, sebanyak 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat jajahan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas dan Jeli sudah dibuka membabitkan 1,207 mangsa daripada 342 keluarga.

"Saya harap seluruh rakyat Kelantan sentiasa berwaspada, patuh arahan dan panduan dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya arahan untuk berpindah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad turut menasihatkan penduduk supaya meningkatkan kawalan kendiri dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan.

Berita Harian X