Sabtu, 26 Februari 2022 | 1:20pm
Proses penamaan calon di sembilan DUN daerah Batu Pahat, berjalan lancar. - Foto fail NSTP
Proses penamaan calon di sembilan DUN daerah Batu Pahat, berjalan lancar. - Foto fail NSTP

Calon diingatkan tidak cetus provokasi ketika berkempen

BATU PAHAT: Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan supaya tidak menimbulkan provokasi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berkempen.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata semua calon sudah diminta berkempen secara sihat dan berhemah serta tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menggugat

ketenteraman awam.

"Satu perjumpaan antara pihak polis dan calon diadakan sebaik sahaja penamaan calon selesai bagi menyampaikan peruntukan undang-undang dan SOP yang perlu dipatuhi ketika tempoh berkempen dan hari mengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, semua calon atau wakil calon juga diminta supaya mengemukakan permohonan lebih awal dengan menggunakan borang khas yang boleh diambil di semua balai polis di daerah Batu Pahat.

Beliau berkata, ia bagi menjalankan aktiviti berkempen seperti ceramah umum dan program 'walkabout' dengan mematuhi SOP PRN, yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ismail berkata, IPD Batu Pahat juga akan menerima seramai 640 pegawai dan anggota polis bantuan dari luar sepanjang tempoh itu.

Katanya, polis akan memantau setiap program yang diadakan bagi memastikan keselamatan dan lalu lintas tidak terganggu, di samping memastikan SOP dipatuhi.

"Tindakan tegas akan diambil jika ada perlanggaran undang-undang dan SOP," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, proses penamaan calon bagi sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Batu Pahat, hari ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Katanya, seramai 362 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai bahagian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan kawalan bermula jam 7 pagi di sembilan pusat penamaan calon bagi memastikan kelancaran proses berkenaan.

Berita Harian X