Sabtu, 26 Februari 2022 | 9:08am

JKM adakan libat urus berhubung JKMPay

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)

mengadakan sesi libat urus bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Orang Kurang Upaya (OKU) berhubung pelaksanaan bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau JKMPay.

Kementerian itu dalam kenyataan, hari ini sesi libat urus dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bagi memberi penerangan dan mendapatkan maklum balas berhubung penambahbaikan perkhidmatan kepada golongan OKU.

Katanya, perbincangan di sesi libat urus banyak menyentuh JKMPay dan memperincikan penjelasan mengenai siapa terbabit dalam program JKMPay, bagaimana ianya dilaksanakan dan apakah perkhidmatan yang disediakan dibawah program itu.

"KPWKM melalui JKM akan terus memantapkan proses pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam selari dengan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) di bawah Pemangkin Dasar 4, Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12.

"Ia bagi mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam supaya keberhasilan perkhidmatan dapat memberikan kesejahteraan rakyat seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.

Kata kenyataan itu, KPWKM juga mengambil maklum isu-isu berbangkit kumpulan sasar kementerian itu menggunakan pendekatan "The Whole Government and Whole of Nation."

Ini supaya penggemblengan tenaga pelbagai pihak seperti PSK, agensi, korporat, pemimpin tempatan dan komuniti dimanfaatkan bagi menjayakan program itu.

Berita Harian X