Jumaat, 25 Februari 2022 | 5:10pm
Keadaan Masjid Mukim Chenulang ditenggelami air akibat hujan yang berterusan sejak malam tadi. - Foto Ihsan pembaca
Keadaan Masjid Mukim Chenulang ditenggelami air akibat hujan yang berterusan sejak malam tadi. - Foto Ihsan pembaca

Banjir landa Kuala Krai, pusat pemindahan mula dibuka

KOTA BHARU: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kampung sekitar Kuala Krai, dekat sini dinaiki banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara kini dibuka.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga kini 24 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan pertama yang dibuka di Masjid Lama Keroh, Kuala Krai.

Semua yang ditempatkan di pusat pemindahan itu membabitkan sembilan lelaki dewasa dan 10 wanita dewasa, selain tiga kanak-kanak dan dua bayi.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my, menyatakan sehingga jam 3 petang ini, dua sungai utama melebihi paras bahaya iaitu Sungai Jenob di Tanah Merah dan Sungai Lebir di Kampung Tualang di Kuala Krai masing-masing dengan bacaan 25.19 meter (m) dan 36.88 m.

Tiga sungai lagi melebihi paras amaran iaitu Sungai Nal di Kuala Krai (24.76 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan Machang (15.54 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (8.06 meter).

Selain itu, tiga sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (28.45 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (22.09 m) dan Sungai Kelantan di Kampung Kusial, Tanah Merah (12.35 m).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zainal Madasin berkata, pihaknya bersama pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini mengatur gerak membantu mangsa banjir.

Katanya, selain Kuala Krai pihaknya turut memberi perhatian kepada beberapa daerah lain termasuk Kota Bharu, Jeli dan Tanah Merah.

"Keadaan hujan berserta angin akan menyebabkan kawasan rendah mudah dinaiki air dan kita menasihatkan semua penduduk terjejas membuat persediaan dan berwaspada," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X