Khamis, 24 Februari 2022 | 12:52pm
Azlan Abdul Manaf, 39, menunjukkan pokok pisang berangan yang musnah akibat ribut di Kampung Padang Nyiur, Padang Terap, Ahad lalu. - Foto ihsan Azlan Abdul Manaf.
Azlan Abdul Manaf, 39, menunjukkan pokok pisang berangan yang musnah akibat ribut di Kampung Padang Nyiur, Padang Terap, Ahad lalu. - Foto ihsan Azlan Abdul Manaf.

1,000 pokok pisang musnah akibat ribut

PADANG TERAP: Lebih 1,000 pokok pisang berangan milik dua petani di Kampung Padang Nyior di sini, musnah selepas kawasan itu dilanda ribut dan angin kencang, Ahad lalu.

Kejadian itu menyebabkan pengusaha kerugian hampir RM40,000 berikutan hasil sepatutnya dituai tiga minggu lagi.

Petani, Zamri Ibrahim, 47, berkata kejadian ribut kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan 560 pokok pisangnya patah dan 440 pokok lagi menjadi condong.

"Kerugian yang saya tanggung bagi 560 pokok itu adalah kira-kira RM20,000. Selalunya 560 pokok ini saya boleh dapat hasil 10 tan pisang yang dijual pada harga ladang RM2 sekilogram.

"Nampaknya bukan rezeki saya kali ini dan kami akan tanam semula dengan kos RM15 setiap pokok pisang iaitu bermula kerja menanam, membaja dan membayar upah pekerja," katanya yang mengusahakan ladang itu sejak tiga tahun lalu.

Bagi rakannya, Azlan Abdul Manaf, 39, berkata dia pula terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM17,000 selepas 470 pokok pisangnya musnah dan kira-kira 500 lagi condong.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan berharap agensi berkaitan dapat membantu meringankan beban mereka bagi proses penanaman semula.

"Bagi pokok yang condong, kami belum pasti sama ada buahnya dapat matang untuk dijual, harapnya pokoknya akan teguh sehingga tiga minggu lagi. Jika tidak, kami akan tanggung kerugian dua kali ganda.

"Pokok pisang mengambil masa setahun sebelum buahnya dapat dituai. Walaupun rasa sedih, namun saya reda," katanya yang tinggal di Kampung Pisang, di sini.

Bapa kepada seorang anak ini memberitahu, pegawai daripada Jabatan Pertanian datang ke ladang itu kelmarin untuk melihat kerosakan.

Berita Harian X