X
Khamis, 24 Februari 2022 | 11:01am
Gambar hiasan - Antara etnik Rohingya yang lari meninggalkan Myanmar
Gambar hiasan - Antara etnik Rohingya yang lari meninggalkan Myanmar
Gambar fail, pekerja rohingya pemegang kad UNHR.
Gambar fail, pekerja rohingya pemegang kad UNHR.

Ahli Parlimen, aktivis sara pelarian Rohingya dibenarkan kerja secara sah

KUALA LUMPUR: Pada 2010, Mohammad Ali Hanifa, 35, hampir menjadi korban tentera Myanmar yang melepaskan tembakan ke arahnya dan keluarga.

Namun, pengalaman yang dilalui ketika itu tidak dapat menandingi perasaannya sekarang apabila memikirkan tentang isteri yang sedang hamil.

"Hari-hari saya fikir, saya risau," katanya tergagap-gagap dalam bahasa Melayu. Parut hitam berbentuk seakan labah-labah di lengan kanannya adalah bukti pengalaman perit yang dilalui lelaki itu.

Mohammad Ali yang beragama Islam, melarikan diri daripada keganasan puak agama yang tercetus di bahagian tenggara Myanmar yang turut menyaksikan abang serta tiga sepupunya maut ditembak junta tentera. Dia yang terkena tembakan di lengan kanan terselamat.

Tidak lama selepas itu, dia dan isteri tiba di Malaysia. Kos kelahiran anak sulungnya di hospital di negara ini dibiayai oleh beberapa badan amal.

Kini isterinya mengandungkan anak kedua mereka. Dia buntu memikirkan tentang pelbagai kos membabitkan kelahiran anaknya itu selain pembiayaan pendidikan anak sulung mereka di sekolah pelarian Pelangi Kasih, dan pada masa sama memastikan keluarganya ada tempat berlindung dan tidak berlapar. Hingga sekarang isterinya belum lagi membuat pemeriksaan kandungan kerana kekangan kewangan.

Berkongsi tentang kepayahan yang dilaluinya kepada Bernama, lelaki itu berkata dia berusaha mengumpul sebanyak mungkin wang dengan melakukan pelbagai kerja rencam selain kerja hakikinya di restoran.

"Kerja susah saya buat (dan) cuci pinggan, semua saya buat," ujarnya.

Sekalipun pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) layak menerima diskaun 50 peratus untuk perkhidmatan penjaaan kesihatan, bantuan agensi tersebut hanya setakat itu.

Bergaji purata RM60 hingga RM70 sehari, tidak banyak yang dapat disimpan oleh Mohammad Ali untuk membiayai kos hospital.

Bayaran deposit untuk sebarang penjagaan perubatan di hospital kerajaan bagi bukan warganegara adalah antara RM3,000 dan RM5,000. Mohammad Ali berkata dia mampu membiayai kos itu sekiranya mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang stabil.

Sebagai pelarian, Mohammad Ali tidak dibenarkan bekerja secara rasmi di negara ini kerana Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 serta tidak mengiktiraf status pelarian, menyebabkan mereka dianggap sebagai pendatang asing tidak berdokumen.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai dasar untuk tidak menghantar pulang pemegang kad UNHCR yang menunggu negara ketiga menerima mereka.

Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 juga dikatakan memberi sedikit kelonggaran kepada pemegang kad UNHCR dengan membenarkan mereka bekerja secara bergaji harian dalam bidang pekerjaan bergaji rendah.

Tersepit di antara sah dan tidak sah, pelarian Rohingya terus terumbang-ambing tanpa kepastian. Dari satu segi mereka tidak perlu khuatir akan dihantar pulang ke negara asal, namun pada masa sama, mereka mungkin ditangkap kerana bekerja secara haram. Selain itu, mereka juga terdedah kepada eksploitasi dan penderaan oleh majikan dan individu yang tidak bertanggungjawab.

Sejak sekian lama aktivis dan penggubal undang-undang menggesa agar pelarian dibenarkan bekerja secara sah. Di bawah kerajaan terdahulu, sebuah kumpulan dwipartisan ahli parlimen ditubuhkan bagi menggubal dasar untuk mengawal selia pekerjaan yang sah bagi pelarian.

Antara kaedah yang boleh dipertimbang ialah membenarkan pelarian mendaftar dan bekerja sebagai pekerja asing berdasarkan undang-undang sedia ada dengan sedikit pindaan.

Apabila berlaku perubahan kerajaan kemudian, kumpulan itu dikekalkan dan jika syor mereka diterima, Mohammad Ali berkemungkinan besar dapat mengumpul wang untuk menampung kos hospital isteri dan bayi yang baru lahir serta persekolahan anak sulungnya.

Gambar fail, aktiviti perniagaan ketika tinjauan di kawasan Pusat Bandar Utara Selayang yang menjadi tumpuan penempatan warga Rohingya. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail, aktiviti perniagaan ketika tinjauan di kawasan Pusat Bandar Utara Selayang yang menjadi tumpuan penempatan warga Rohingya. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

USAHA DITERUSKAN

Pada akhir 2021, UNHCR melaporkan terdapat 180,440 pelarian berdaftar di negara ini dengan sebahagian besar adalah dari Myanmar, iaitu seramai 155,440 orang. Daripada jumlah itu, 103,380 merupakan etnik Rohingya dan 22,570 etnik Chin, manakala selebihnya daripada kumpulan etnik lain.

Turut direkodkan ialah pelarian dari Pakistan, Yaman dan Syria. Lebih 46,000 daripada pelarian yang berdaftar merupakan kanak-kanak.

Bercakap kepada Bernama, bekas Pengerusi Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) Rangka Kerja Perundangan dan Advokasi Pelarian di Malaysia, Chan Ming Kai, berkata semasa beliau mempengerusikan kumpulan itu, mereka menyarankan agar pelarian dibenar menggunakan kad UNHCR atau dokumen lain yang akan ditentukan kemudian, sebagai dokumen pengenalan diri semasa memohon permit kerja.

"Ada kemungkinan kerajaan akan membenarkan mereka bekerja secara sah, sama ada berdasarkan kebenaran yang diberi kepada pekerja asing iaitu hanya di sektor tertentu, dikenakan levi dan sebagainya, atau dengan sedikit perubahan," katanya.

Chan tidak dapat memberi jaminan kerajaan semasa akan menerima syor yang dibuat oleh kumpulannya, namun katanya usaha ke arah itu masih diteruskan oleh kumpulan sekarang.

Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, yang merupakan ahli semasa APPG itu, berkata beliau menyokong penemuan kumpulan yang dipengerusikan oleh Chan tersebut, kerana dengan mengizinkan pelarian bekerja, bermakna majikan dapat mencari pekerja yang boleh melakukan kerja-kerja kotor dan tidak diingini oleh orang lain.

Contohnya, pelarian boleh bekerja sebagai pekerja am dan buruh di pasar basah, iaitu pekerjaan yang lazimnya tidak mahu dilakukan oleh rakyat tempatan jika tidak diberikan gaji beberapa kali ganda lebih tinggi daripada upah minimum, katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama.

Menurut beliau, jika rakyat Malaysia dibayar gaji yang setimpal dengan tenaga yang dicurahkan oleh pekerja asing dan pelarian termasuk sanggup berhujan dan berpanas, negara ini tidak akan memerlukan tenaga kerja asing.

Sementara itu, Chan mengingatkan agar dapatan daripada projek rintis yang dijalankan oleh kumpulannya pada 2016 membabitkan pelarian dan pekerja asing diambil kira jika kerajaan memutuskan untuk membenarkan pelarian bekerja secara sah.

Menurutnya, hasil kajian itu yang melibatkan pengambilan pelarian Rohingya bekerja di sektor perladangan dan perkilangan adalan bercampur dengan projek di sektor perladangan dianggap gagal, sementara projek di sektor perkilangan berjaya.

Katanya projek di sektor perladangan gagal kerana pelarian amnya keberatan untuk berpindah atau tinggal berjauhan daripada keluarga mereka, sebaliknya mereka lebih suka bekerja di sektor perkilangan yang membolehkan mereka tinggal bersama keluarga dan komuniti sendiri.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, berkata tidak seperti pekerja asing yang datang ke Malaysia seorang diri untuk mencari pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik, kebanyakan pelarian tiba bersama-sama keluarga, melarikan diri daripada penindasan, keganasan malah kematian di negara negara asal.

Justeru, komuniti mereka lazimnya banyak menetap di kawasan bandar.

"Oleh itu, jika mereka tinggal di pusat bandar Kuala Lumpur atau Johor Bahru atau Seremban, memang menjadi masalah bagi mereka untuk berpindah ke kawasan ladang beratus batu jauhnya di negeri lain. Akan tetapi hal itu tidak menjadi isu besar buat pekerja asing berdokumen dari Indonesia contohnya, yang datang ke sini dengan satu matlamat iaitu bekerja di sektor perladangan," jelasnya.

Pekerja asing selalunya mempunyai pendidikan asas dan mungkin dibawa masuk kerana ada pengalaman bekerja di sektor tertentu seperti perladangan, manakala pelarian di Malaysia datang daripada pelbagai latar belakang - sesetengahnya merupakan golongan profesional kolar putih, sementara yang lain seperti Rohingya misalnya, tidak berpelajaran.

Chan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata penguatkuasaan dasar baharu itu, jika dilaksanakan, harus mencerminkan perbezaan tersebut.

Katanya, kerajaan juga harus terus membenarkan pelarian bekerja dalam sektor tidak formal, selain mengambil maklum bahawa ramai pelarian berkemungkinan tidak terus dapat memenuhi syarat yang diperuntukkan untuk pekerja asing berkenaan.

"Jadi kami cadangkan 'halalkan' mereka agar mereka boleh nikmati faedah sebagai pekerja yang sah, dan pada masa sama kita masih benarkan mereka, setidak-tidaknya untuk beberapa tahun, bekerja di sektor tidak formal sebab kita tidak tahu kesan (dasar itu ke atas mereka), mengambil kira keadaan semasa," katanya.

Beliau turut mengakui ada beberapa isu kedaulatan yang perlu ditangani, antaranya, dengan membenarkan penggunaan kad UNHCR sebagai dokumen pengenalan diri bermakna Malaysia membenarkan agensi asing, iaitu agensi pelarian PBB, terlibat dalam hal ehwal imigresen Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan dan UNHCR mungkin perlu bekerjasama dan berkongsi data untuk menentukan sama ada pelarian harus diberikan permit kerja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, baru-baru ini berkata Malaysia perlukan datanya sendiri mengenai pelarian.

UNHCR tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi Bernama.

SITUASI MENANG-MENANG

Selain isu kedaulatan, turut menjadi kekangan ialah pandangan masyarakat umum yang tidak begitu baik terhadap Rohingya khususnya.

Ramai aktivis dan penggubal undang-undang bimbang tentang tindak balas rakyat Malaysia yang kebanyakannya masih lagi bergelut dari segi ekonomi selepas hilang pekerjaan dan sumber pendapatan akibat COVID-19, sekiranya pelarian dibenar bekerja secara sah.

Naib Presiden Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor (HASS), Badariah Abdul Hamid, berkata kemungkinan besar langkah membenarkan pelarian bekerja akan disambut dengan maklum balas negatif daripada masyarakat.

"Ramai yang komen (sekarang dalam Facebook), kenapa sibuk nak tolong pelarian, ramai lagi rakyat Malaysia yang susah," ujar beliau. Badan amal beliau mengendalikan Pusat Pembelajaran Pelangi Kasih selain membantu pelarian Rohingya.

Bagaimanapun beliau dan aktivis lain serta pakar ekonomi dan penggubal undang-undang bersetuju langkah membenarkan pelarian bekerja secara sah memberikan situasi menang-menang kepada Malaysia dan pelarian.

Chan berkata pengesahan status pelarian sebagai pekerja akan membantu menangani permasalahan gaji yang tidak berganjak yang dikatakan berpunca daripada ketersediaan begitu ramai pekerja bergaji rendah.

"Suka atau tidak, mereka memang sudah bekerja sekarang. Jika (kita) tidak sahkan, maka kesediaan mereka untuk menerima gaji yang lebih rendah daripada gaji minimum akan mewujudkan persaingan tidak seimbang dengan rakyat tempatan. Lebih ramai majikan yang mahu mengambil pelarian (sebagai pekerja) kerana (upah) mereka lebih murah dan persaingan ini adalah tidak adil mahupun sihat bagi pekerja tempatan," ujar beliau.

Menurut laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia 2015 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, menghalalkan pekerja yang tidak sah akan menyumbang secara positif kepada ekonomi. Ia mendapati hal itu akan meningkatkan kadar pengambilan pekerja dan gaji rakyat tempatan, sementara levi yang dibayar oleh majikan untuk pekerja asing mereka menyumbang kepada pendapatan negara, dan penyertaan mereka dalam skim insurans pekerja yang dijalankan oleh kerajaan pula akan mengurangkan beban penjagaan kesihatan yang ditanggung kerajaan.

UNHCR menganggarkan tenaga kerja pelarian yang sah akan menyumbang sekitar RM152 juta ke dalam pendapatan negara berdasarkan kadar levi pekerja asing di Malaysia.

Bersempena Hari Pelarian Antarabangsa 2016, Timbalan Pengarah UNHCR di New York, Richard Towle, menulis dalam editorialnya menyokong projek rintis Malaysia dengan berkata: "Skim yang dikawal selia untuk pelarian termasuk peluang bekerja secara sah, akan menangani kebimbangan kerajaan tentang keselamatan, undang-undang dan ketenteraman serta jenayah, yang sekarang membelenggu beberapa bahagian dalam ekonomi pasaran buruh yang tidak dikawal selia."

Beliau juga berkata, kemahiran yang bakal diraih oleh pelarian apabila mereka berdaftar sebagai pekerja sah akan membantu dalam penempatan semula pelarian terbabit.

Pakar juga bersetuju dengan memberikan pelarian sumber sah untuk mencari pendapatan akan meningkatkan keselamatan negara, undang-undang dan ketenteraman.

Pelarian dan majikan tidak perlu lagi bersembunyi apabila bertembung dengan penguat kuasa undang-undang, mengurangkan kes kecurian gaji dan penderaan lain, sekali gus membantu ekonomi pelarian dan membolehkan mereka membiayai pendidikan anak yang pada akhirnya memberi kesenangan kepada semua pihak.

Dr Faizal memberitahu Bernama, dengan mengizinkan pelarian bekerja juga dapat membantu mengurangkan radikalisme dalam kalangan golongan tersebut.

"Semakin mereka diabaikan, semakin bertambah rasa putus harap mereka, dan dalam dunia ini, mereka mungkin tertarik kepada ideologi radikal (dan) ekstrem," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X