Rabu, 23 Februari 2022 | 12:48pm
Kanak-kanak Pelangi Kasih tekun belajar di pusat pembelajaran pelarian Rohinga. Myanmar yang enggan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya menindas dan menafikan mereka daripada menikmati hak asasi seperti pendidikan, memiliki harta malah kehidupan sejak berdekad lalu, menyebabkan ramai yang bertindak melarikan diri termasuk ke Malaysia.
Kanak-kanak Pelangi Kasih tekun belajar di pusat pembelajaran pelarian Rohinga. Myanmar yang enggan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya menindas dan menafikan mereka daripada menikmati hak asasi seperti pendidikan, memiliki harta malah kehidupan sejak berdekad lalu, menyebabkan ramai yang bertindak melarikan diri termasuk ke Malaysia.

Tanpa pendidikan, masa depan generasi muda Rohingya kian kelam

KUALA LUMPUR: Dia hanya berusia 15 tahun ketika mempertaruhkan nyawanya bersama-sama sekitar 5,000 pelarian Rohingya yang lain, menaiki tiga buat bot mengharungi gelora Laut Andaman pada Mei 2015.

Sekurang-kurangnya 13 rakan sepenumpang Mohammudun Hassan ketika itu ditemukan lemas, dan menurutnya, jika dia juga menerima yang nasib sama, kematiannya pada hari berkenaan boleh dianggap sebagai rentetan daripada kejadian suatu pagi pada Februari tahun sama apabila dia dipanggil ke pejabat pengetua dan diberitahu tidak lagi boleh datang ke sekolah.

Penyebabnya - dia etnik Rohingya. Sememangnya tindakan buang sekolah terhadapnya itu bukanlah tidak dijangka kerana Bangladesh tidak membenarkan penduduk bukan rakyatnya termasuk pelarian, belajar di sekolah kerajaan. Hassan dan kanak-kanak pelarian lain berjaya mendaftarkan diri di sekolah itu menggunakan dokumen palsu yang boleh didapati di kem pelarian dengan bayaran tertentu.

Mengimbas insiden di pejabat pengetua itu, Hassan memberitahu Bernama mereka yang berada di dalam pejabat tersebut tenang sahaja ketika memaklumkan tentang dia dibuang sekolah, sedangkan dunianya berkecai. Rasa kecewa, sedih dan marah menyelubunginya. Cita-citanya untuk menjadi doktor musnah.

Dia pulang ke rumahnya di kem pelarian Nayapara di Cox's Bazar dengan rasa kecewa dan ibunya, walaupun sedih, menasihatinya agar bersabar.

Akan tetapi kejadian itu menguatkan lagi tekad Hassan untuk berhijrah ke negara lain.

"Saya tidak nampak masa depan di kem itu yang bagi saya seakan penjara terbuka, sebuah lohong hitam," luahnya.

Buntu, dia kemudian menghubungi rakannya di Malaysia yang memberitahunya tentang seorang individu yang boleh membantunya menyeludup masuk ke Malaysia, negara yang menurut rakannya boleh memberikan kehidupan yang lebih baik.

Beberapa bulan kemudian, dia memulakan perjalanan ke Malaysia, namun tidak diduga olehnya yang dia terpaksa bertarung nyawa, berenang ke pantai dengan hanya berpaut pada sekeping papan yang dikongsi dengan seorang lagi lelaki, sementara 10 yang lain bergelut untuk terus berenang.

Hassan dan penumpang yang lain terpaksa terjun ke laut apabila bot yang dinaiki mereka bocor. Ketika itu semua penyeludup telah lama melarikan diri selepas menghanyutkan tiga buah bot yang dinaiki kumpulan pelarian terbabit tanpa bekalan air dan makanan.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sekurang-kurangnya 70 pelarian lemas dalam insiden tersebut.

Hassan dan rakan penumpang diselamatkan oleh nelayan Aceh. Setahun kemudian dia berjaya tiba di Malaysia dan memperoleh kad UNHCR serta menamatkan persekolahan peringkat menengah menerusi bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menaja pendidikannya.

OPSYEN DAN HALANGAN

Myanmar yang enggan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya menindas dan menafikan mereka daripada menikmati hak asasi seperti pendidikan, memiliki harta malah kehidupan sejak berdekad lalu, menyebabkan ramai yang bertindak melarikan diri.

Di Malaysia, data rasmi UNHCR dan kerajaan merekodkan etnik Rohingya sebagai paling ramai daripada 180,440 pelarian yang ada. Namun angka itu tidak mencerminkan jumlah sebenar pelarian dan pencari suaka di negara ini kerana ramai yang tidak berdaftar.

Baru-baru, tular satu siri klip video memaparkan kanak-kanak yang dikatakan etnik Rohingya mengemis dengan sesetengah netizen menyifatkan kelakuan mereka seperti samseng dan biadab, serta mahu pihak berkuasa mengambil tindakan.

Sesetengah lagi pula memahami keadaan anak-anak terbabit dan berkata anak pelarian, khususnya Rohingya, sukar mendapat akses kepada pendidikan berbanding yang lain.

Pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr Hartini Zainuddin berkata harapan terbaik mereka ialah berpindah ke negara ketiga, namun peluang untuk mereka dapat berbuat demikian adalah tipis.

"Jika anda adalah komuniti yang dinafikan akses kepada pendidikan atau kemahiran, bermakna anda tidak akan diutamakan dalam usaha penempatan semula itu," katanya.

"Kita sepatutnya membenarkan anak-anak ini diberikan akses kepada pendidikan dan kemahiran hidup," tambah beliau.

Sekalipun pelarian di Malaysia mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan, ada halangan bagi mereka berbuat demikian, iaitu syaratnya mesti warganegara. Kekangan lain termasuk halangan geografi, tidak ada dana dan kemiskinan.

Seperti di Bangladesh, kanak-kanak pelarian dan tidak berkerakyatan di Malaysia juga tidak memiliki hak akses kepada sistem pendidikan formal negara ini.

Sekalipun Malaysia meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), ia berhak menolak atau mengubah suai prinsip teras tertentu, termasuk hak tidak didiskriminasi (Perkara 2), hak mendapat pendidikan sekolah rendah secara percuma (Perkara 28.1a) dan perlindungan daripada didera dan dinafikan kebebasan (Perkara 37).

Pada 2018, kerajaan pada masa itu melaksanakan dasar sifar penolakan yang membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas dan yang tiada dokumen sah belajar di sekolah kerajaan, namun dua tahun kemudian dasar tersebut dilaporkan ditarik balik selepas berlaku pertukaran kerajaan.

Bagaimanapun, Malaysia membenarkan pusat pembelajaran kendalian NGO dan diiktiraf oleh UNHCR beroperasi, selain sekolah swasta juga boleh menerima kanak-kanak pelarian dan tidak bernegara terbabit sebagai pelajar mereka di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.

Rakan Hassan yang juga etnik Rohingya namun lahir di Malaysia, Johan, 21, berkata alangkah bagusnya jika dasar sifar penolakan itu sudah ada semasa dia kanak-kanak dan mahu ke sekolah. Sebaliknya, dia hanya dapat memasuki tadika dan sekolah rendah di institusi pendidikan agama swasta di Pahang menggunakan sijil kelahirannya, namun itupun hanya sampai satu tahap sahaja.

"Saya pernah cuba daftar di sekolah kebangsaan tapi dia cakap tak boleh sebab saya tak ada dokumen yang sah untuk daftar. Jadi, saya tak boleh nak sambung balik nak belajar tu," kongsinya kepada Bernama.

Menurut anak muda itu, pada masa tersebut tidak ada sekolah untuk pelarian berdekatan rumahnya. Dia kini terpisah daripada ibu bapa dan empat adik-beradik lelakinya yang masing-masing ditahan di depoh tahanan imigresen. Selain ayahnya, kesemua ahli keluarga Johan lahir di Malaysia.

Disebabkan tiada pilihan untuk menyambung pendidikannya, Johan yang ketika itu berusia 13 tahun, bekerja di sebuah syarikat yang memperoleh kontrak kerajaan untuk memasang kabel telekomunikasi, memotong rumput dan membersihkan longkang.

Pada masa ini terdapat 131 pusat pembelajaran untuk pelarian dengan kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur dan Selangor, sementara di negeri-negeri lain terdapat sekurang-kurangnya sebuah pusat berdaftar, kecuali di Perlis yang tidak mempunyai pusat sedemikian.

ADA DUIT SEMUA JADI

Seperti juga perkara lain, kunci kepada penubuhan institusi pendidikan bagi pelajar pelarian dan tidak berkerakyatan ialah pembiayaan, dan seperti mana-mana kerja amal, dana amat sukar diperoleh.

Disebabkan pengecualian Perkara 28.1.a CRC, kerajaan Malaysia tidak membiayai pusat pendidikan terbabit, memaksa mereka bergantung sepenuhnya pada sumbangan. Justeru, dalam memastikan institusi mereka dapat beroperasi, ada sesetengah pusat pembelajaran mengenakan yuran minimum, dan itupun mungkin masih mahal.

Bayaran yang dikenakan oleh sekolah swasta pula jauh lebih tinggi dan lazimnya di luar kemampuan keluarga pelarian terbabit.

Sementara itu, Pengetua Pelangi Kasih - pusat pembelajaran pelarian - Rafik Shah Mohd Ismail memberitahu Bernama sekolah tersebut mengenakan bayaran pendaftaran tahunan RM30 dan bulanan RM20.

Bagaimanapun katanya sekolah tidak akan memberhentikan pelajar yang tidak mampu membayar yuran tersebut, memandangkan banyak ibu bapa yang kehilangan pekerjaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan COVID-19.

"Daripada dibiar (mereka) di tepi jalan, lebih baik berada di sini," katanya.

Menurut Rafik, pelajar yang berusia enam hingga 16 tahun terbabit diajar subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Moral, selain kemahiran hidup seperti memasak dan menjahit, bergantung pada ketersediaan sumber dan guru berkelayakan.

Rafik yang juga pemimpin de facto komuniti pelarian Rohingya di Selayang, berkata amat penting bagi komuniti itu mendapat pendidikan yang akan membantu mereka berasimilasi dengan lebih baik di Malaysia, selain membolehkan mereka menjadi ahli masyarakat yang dapat menyumbang.

Kebanyakan mereka buta huruf kerana Myanmar menafikan hak asasi mereka untuk mendapat pendidikan dan lain-lain hak sivil sejak berdekad lamanya.

Bersetuju dengan pandangan itu, Mariya Mohd Tahir yang juga guru sukarelawan, berkata pelarian Rohingya tidak seperti pelarian dari negara lain contohnya Syria yang lebih berpelajaran. Malah katanya jika anak pelarian lain tidak boleh bersekolah, ibu bapa mereka masih boleh mengajar pendidikan asas kepada si anak.

Namun bagi Rohingya, keadaan adalah sebaliknya.

"Ibu bapa pelarian Rohingya majoritinya tidak tahu membaca dan mengira, dan inilah yang menjadi masalah kepada anak-anak mereka. Kami berharap anak-anak pelarian yang belajar di sini berkongsi ilmu pengetahuan dengan ibu bapa mereka dan mampu mendidik ahli keluarga mereka untuk menjadi lebih baik," katanya.

Setakat 31 Dis 2021, UNHCR menganggarkan jumlah pelarian dan pencari suaka di Malaysia adalah seramai 180,440 orang dengan 57 peratus daripadanya etnik Rohingya. Selebihnya adalah etnik minoriti dari Myanmar, selain rakyat Syria, Afghanistan dan Palestin.

MASA DEPAN

Dalam dunia yang lebih baik, anak-anak pelarian ini akan bersekolah hingga tamat pengajian, namun realitinya, ramai yang tercicir semasa mencapai usia remaja kerana perlu membantu keluarga.

Statistik UNHCR menunjukkan 44 peratus daripada 5,046 anak pelarian berusia enam hingga 13 tahun menerima pendidikan rendah. Bagaimanapun, kadar keciciran meningkat seiring usia dengan hanya 14 peratus anak berumur 14 hingga 17 tahun mendaftar untuk pendidikan menengah.

Keseluruhannya, hanya 30 peratus daripada 23,823 anak pelarian berdaftar di 131 pusat pembelajaran di Malaysia. Angka ini membabitkan mereka yang telah memohon atau diberikan status pelarian.

Mariya yang telah bertahun-tahun bekerja dengan pelarian, bimbang akan nasib anak-anak terbabit jika tidak ada perubahan dilakukan bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan dan bersekolah hingga tamat pengajian.

Ramai pelajarnya lahir di Malaysia yang mana ibu bapa mereka telah menetap di negara ini selama bertahun-tahun, kalaupun tidak berdekad.

"Kanak-kanak pelarian ini sebenarnya pandai dan kalau digilap mesti akan berjaya dan mampu membawa perubahan kepada keluarga mereka," ujarnya.

Hassan juga risau tentang masa depannya. Sekarang, pada usia 23 tahun dan melakukan kerja sukarela di Geutanyoe Foundation, Hassan meneruskan usaha memperluas akses pendidikan dalam kalangan anak pelarian.

Dia yang telah berumah tangga sejak lebih dua tahun lepas juga keberatan untuk memulakan keluarga selagi masih tinggal di Malaysia.

"Saya tak kata kehidupan saya sekarang tidak selesa, tapi saya bimbang saya tidak mampu berikan apa-apa kepada anak saya, waima sekeping pasport," ujarnya. - BERNAMA

Berita Harian X