Rabu, 23 Februari 2022 | 12:26pm
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama tetamu pada Program Ramah Mesra Warga FELDA di Dewan Raya FELDA Taib Andak, Kulai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama tetamu pada Program Ramah Mesra Warga FELDA di Dewan Raya FELDA Taib Andak, Kulai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

PN minta SOP PRN Johor dinilai semula

KULAI: Perikatan Nasional (PN) berharap prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinilai semula bagi memudahkan pergerakan calon memperkenalkan diri selain kempen diperluaskan di kawasan lebih besar.

Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SOP PRN Johor yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat agak ketat dan tidak praktikal.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, SOP termasuk ceramah yang hanya dibenarkan berhampiran bilik gerakan dengan kehadiran hanya 100 orang tidak praktikal.

"Tidak akanlah orang dari seluruh Johor kena datang ke situ (bilik gerakan) yang mungkin agak jauh daripada kediaman mereka. Ini bagi saya tidak praktikal.

"Kalau satu kawasan ada 30,000 pengundi, macam mana kita nak hubungi semua pengundi dan minta mereka datang ke bilik gerakan bagi memperkenalkan calon dan berkempen.

"Kebenaran diberi pada 100 orang, kita kawallah tetapi tak akanlah hanya boleh buat (ceramah) di satu tempat sahaja.

"Sedangkan majlis sosial termasuk majlis perkahwinan dibenarkan. Apa beza kempen dengan majlis perkahwinan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Warga FELDA bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Dewan Serbaguna FELDA Taib Andak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Berdasarkan SOP SPR, penganjuran ceramah, syarahan atau kempen di PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Hanya individu yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan hadir dalam penganjuran program itu dengan penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala penganjuran di premis terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

SOP pada program itu termasuklah mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta ke dalam pejabat parti atau bilik gerakan parti dengan hanya memastikan satu laluan untuk masuk dan satu laluan untuk keluar.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi MPN berkata, SOP PRN Johor yang diperkenalkan itu mempunyai sedikit kelonggaran namun ia tidak memadai.

"Masa kempen tak panjang, hanya dua minggu. Bagaimana kita nak perkenalkan calon yang pengundi tidak kenal dalam SOP yang tidak praktikal ini.

"Saya harap SPR mempertimbangkan semula SOP PRN Johor yang diumumkan itu," katanya.

Berita Harian X