Rabu, 23 Februari 2022 | 9:35am

COVID-19 ragut 43 lagi nyawa

KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam, yang menyaksikan Sabah tertinggi iaitu 12 orang.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), Johor turut mencatat sembilan kematian baharu, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing empat.

Seterusnya, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang (masing-masing tiga); Melaka dan Perak (masing-masing dua); serta Kuala Lumpur (satu).

Dalam perkembangan berkaitan, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di negara ini menurun sedikit kepada 1.15, semalam, berbanding 1.16 kelmarin.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitter, hari ini, Labuan mendahului dengan kadar Rt 1.42.

Sarawak menyusul dengan mencatat Rt 1.35; Terengganu (1.29); Perlis dan Pulau Pinang (1.27); Pahang dan Sabah (1.26); Negeri Sembilan (1.25); serta Kelantan (1.23).

Seterusnya, Selangor, Kedah dan Perak (1.21); Kuala Lumpur (1.16); Johor (1.15); Putrajaya (1.13); serta Melaka (1.11).

Sementara itu, seramai 615,671 individu atau 17.3 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan data dalam COVIDNOW, seramai 14,176,241 (60.3 peratus) populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak COVID-19.

Seramai 22,945,612 (97.5 peratus) populasi itu sudah lengkap vaksinasi, manakala 23,223,983 (98.7 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,799,326 individu (90 peratus) telah lengkap imunisasi, manakala 2,888,143 (92.9 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin COVID-19.

Sebanyak 147,742 dos vaksin diberikan, semalam, membabitkan 51,849 dos pertama, dos kedua (613) dan dos penggalak (95,280).

Ia membawa kepada jumlah kumulatif vaksin diberi bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini mencecah 66,441,964 dos.

Berita Harian X