Selasa, 22 Februari 2022 | 7:12pm
Presiden CUEPACS, Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Adnan Mat

CUEPACS cadang gaji minimum baharu sektor awam RM1,800 sebulan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi mengulangi cadangan gaji minimum baharu RM1,800 sebulan untuk sektor awam berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya sebelum ini mengutarakan hal itu kepada Perdana Menteri dan mencadangkan gaji RM1,800 sebulan kerana berpendapat angka berkenaan munasabah untuk dinilai kerajaan.

"Pada masa sama, Perdana Menteri juga memaklumkan dalam Kabinet dan di Parlimen pada 27 November lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menyasarkan (status sebagai) negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan meletakkan pendapatan isi rumah kepada RM10,000.

"Namun sasaran di bawah RMK-12 ini sudah tentu tidak akan tercapai sekiranya gaji minimum yang baharu ini tidak diubah kerajaan sendiri," katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program Koresponden terbitan BERNAMA TV bertajuk 'Penentuan Nasib Penjawat Awam' hari ini.

Beliau juga berkata sebelum ini, kerajaan menetapkan bahawa gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun dan kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam disemak pada 2002.

"CUEPACS melihat apabila kerajaan sendiri menetapkan setiap 10 tahun, maknanya tahun ini adalah tahun yang memerlukan kerajaan untuk menyemaknya semula.

"Sistem saraan yang baharu ini hendaklah boleh menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, setimpal dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga berubah dengan (harga) barangan meningkat berkali-kali sejak tahun lalu," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X