Selasa, 22 Februari 2022 | 5:43pm
Datuk Seri Rina Harun (kiri) ketika pertemuan bersama Menteri Pembangunan UAE, Hessa Essa Buhumaid di Ekspo Dubai. - Foto Ihsan KPWKM
Datuk Seri Rina Harun (kiri) ketika pertemuan bersama Menteri Pembangunan UAE, Hessa Essa Buhumaid di Ekspo Dubai. - Foto Ihsan KPWKM

Malaysia, UAE bakal jalin kerjasama program perkasa wanita

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal menjalin kerjasama dalam aspek kepakaran, membabitkan program pemerkasaan dijalankan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam pertemuan rasmi 30 minit beliau bersama Menteri Pembangunan UAE, Hessa Essa Buhumaid di Ekspo Dubai.

Pada pertemuan itu, katanya, Hessa menunjukkan minat dan hasrat untuk bekerjasama membabitkan program pemerkasaan wanita, keluarga, warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU) yang dikendalikan KPWKM.

Malah, beliau berkata menjadi satu kebangaan apabila Hessa menyatakan Kerajaan UAE sentiasa menjadikan Malaysia penanda aras dalam aspek pelaksanaan dan menilai program pembangunan sosial negara mereka.

"Saya turut bertanya dan membincangkan peranan KPWKM dalam mengendalikan program Smart Start di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sepanjang pertemuan ini, kami juga sempat membincangkan idea dan perancangan kedua-dua negara sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac depan di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang turut hadir dalam pertemuan itu ialah Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM, Fatimah Zuraidah dan Setiausaha Bahagian Antarabangsa KPWKM, R Satish.

Mengulas pertemuan berkenaan, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ia berlangsung dalam suasana harmoni dan melambangkan persaudaraan dua negara yang sudah lama terjalin.

"Kami berdua berbincang, bertukar pandangan dan idea berhubung perkembangan kedua-dua negara serta kumpulan sasar kedua-dua kementerian yang mempunyai banyak persamaan.

"Saya juga cukup terharu apabila dimaklumkan menjadi Menteri Malaysia pertama diberi penghormatan di Leadership Pavilion yang biasanya dikhususkan kepada ketua negara.

"Terima kasih Kerajaan UAE! Terima kasih Her Excellency Hessa di atas segala penghormatan dan juga layanan cukup baik serta mesra kepada saya dan delegasi Malaysia yang lain," katanya.

Berita Harian X