Selasa, 22 Februari 2022 | 12:49pm
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

Individu tidak divaksinasi paling berisiko mati - Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Mereka yang tidak divaksinasi paling berisiko dijangkiti COVID-19 dengan simptom serius, termasuk mati tanpa mengambil kira faktor usia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berdasarkan data terkini dari tempoh 24 Januari lalu hingga semalam bagi kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 dan jumlah kematian akibat jangkitan itu per 100,000 populasi.

"Data menunjukkan kumpulan individu tidak divaksinasi paling berisiko untuk dijangkiti. Pesakit kategori 4 serta 5 paling berisiko untuk mati akibat COVID-19 dan ia dapat dilihat bagi hampir setiap kumpulan umur.

"Kumpulan individu sudah menerima vaksin COVID- 19 dos penggalak adalah paling terlindung, di mana dapat dilihat kurang kes dijangkiti COVID-19 yang serius (kategori 3, 4 dan 5)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kematian akibat COVID-19 juga kurang dalam kalangan penerima dos penggalak, berbanding kumpulan tidak divaksinasi dan lengkap divaksin, tetapi tidak lengkap dos penggalak.

"Vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius COVID-19," katanya.

Sementara itu, katanya, setakat semalam, sebanyak 14,078,456 dos diberikan kepada individu dewasa yang layak atau 59.8 peratus penduduk dewasa di negara ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Dos Penggalak (PICK-B) yang dimulakan 1 Oktober tahun lalu.

Bagi kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 pula, beliau berkata, ia direkodkan pada 1.19 berdasarkan jumlah kes COVID-19 dilaporkan kelmarin.

Kadar Rt paling tinggi dilaporkan di Labuan, iaitu 1.60, diikuti Sarawak (1.41), Sabah (1.35), Terengganu (1.33), Pulau Pinang (1.31), Selangor (1.29), Pahang (1.29), Kelantan (1.28), Kedah (1.27), Perlis (1.26), Negeri Sembilan (1.25), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.23), Johor (1.21), Putrajaya (1.19), Melaka (1.17) dan Perak (1.15).

Berita Harian X