Selasa, 22 Februari 2022 | 10:40am

LPN tingkat daya saing industri logistik

KUALA LUMPUR: Nexus Produktiviti Logistik (LPN) mampu meningkatkan daya saing industri logistik tanah air bagi merealisasikan matlamat Malaysia menjadi hab logistik serantau.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata peningkatan infrastruktur logistik dan pemasaran yang lebih agresif oleh negara jiran telah memberikan cabaran kepada peserta industri logistik di negara ini.

Katanya, bagi melonjakkan produktiviti sektor logistik negara, LPN akan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk membantu peniaga logistik meningkatkan daya saing melalui empat fokus utama iaitu bakat, teknologi, struktur industri dan peraturan.

"Penubuhan LPN ini yang diterajui oleh industri mampu memacu sektor ini agar lebih produktif dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, LPN yang ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan membantu menarik penyertaan swasta dalam meningkatkan produktiviti sektor logistik seperti dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Kos perkhidmatan logistik di Malaysia lebih tinggi berbanding pesaing serantau. Selain itu, industri juga berdepan kekurangan bakat yang berkemahiran dan berpengalaman serta mempunyai ciri keusahawanan," katanya.

Terdahulu, Abdul Latif terbabit dalam sesi perbincangan strategik penubuhan LPN bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata, Nexus akan bekerjasama dengan pemain industri untuk mengenal pasti strategi terbaik meningkatkan penerimagunaan teknologi yang menjadi antara faktor penting peningkatan produktiviti.

Katanya, selaras peranan besar industri ini sebagai tulang belakang kepada industri lain dan rantaian global, peningkatan produktiviti dalam subsektor ini akan memberi kesan limpahan yang positif kepada sektor lain.

Berita Harian X