Selasa, 22 Februari 2022 | 12:08am
Azmin menggesa PMKS mengkaji teknologi blockchain yang telah memberi impak besar terhadap kebimbangan mengenai mengekalkan integriti produk makanan halal dengan membolehkan kebolehkesanan yang berkesan dalam rantaian bekalan makanan. - Foto hiasan NSTP
Azmin menggesa PMKS mengkaji teknologi blockchain yang telah memberi impak besar terhadap kebimbangan mengenai mengekalkan integriti produk makanan halal dengan membolehkan kebolehkesanan yang berkesan dalam rantaian bekalan makanan. - Foto hiasan NSTP

Industri halal tingkatkan kapasiti M'sia sebagai hab halal global

KUALA LUMPUR: Industri halal yang telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan tenaga kerja halal, memacu pembangunan industri termasuk penyertaan Bumiputera, meningkatkan daya saing produk dan menjadikan Malaysia sebagai hab halal global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau yakin strategi yang digariskan di bawah pelan itu akan membuka pintu masuk kepada peluang tanpa sempadan terutamanya untuk memanfaatkan keupayaan keusahawanan golongan belia.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Pelan Induk Industri Halal 2030 dan Platform Bersepadu Halal akan memainkan peranan penting dalam menyediakan jambatan antara usahawan dan pihak berkepentingan industri, menyatukan mereka di bawah satu ekosistem halal, memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya pada Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2021 di sini.

Oleh itu, Azmin menggesa PMKS untuk memanfaatkan kemudahan kewangan Islam melalui platform pendigitalan yang menawarkan produk dan perkhidmatan patuh syariah yang inovatif untuk membantu mengatasi kekangan aliran tunai.

Ini termasuk mengkaji teknologi blockchain yang telah memberi impak besar terhadap kebimbangan mengenai mengekalkan integriti produk makanan halal dengan membolehkan kebolehkesanan yang berkesan dalam rantaian bekalan makanan.

"Saya menggesa pemain industri untuk menghasilkan lebih banyak penawaran yang kreatif dalam strategi pembangunan produk dan pasaran mereka dengan menggabungkan kaedah teknologi terkini dan memanfaatkan trajektori transformasi digital kami," katanya.

Azmin berkata satu lagi sektor penting apabila industri halal boleh terus memacu sempadan teknologi ialah dalam penjagaan kesihatan, dan usaha yang lebih baik boleh dibuat secara menyeluruh dalam membangunkan alternatif halal dalam industri ini.

Beliau berkata penting bagi Malaysia merealisasikan kekuatannya sebagai perintis dan penggerak pertama dalam membangunkan industri halal, mengekalkan kedudukan utama dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global selama lapan tahun berturut-turut.

"Sehubungan itu, piawaian farmaseutikal halal kita yang telah mendapat penerimaan sejagat perlu diperkukuh terutamanya dengan tumpuan yang tinggi untuk meningkatkan kesihatan dan imuniti selepas pandemik, menyemarakkan permintaan untuk nutraseutikal baharu yang diperakui halal, daripada vitamin kepada makanan tambahan kesihatan dan peranti perubatan," katanya.

Pada acara itu, antara pemenang ialah Bank Islam Malaysia Bhd dan United Overseas Bank Malaysia Bhd, masing-masing dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Kewangan Halal untuk institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.

Omni Mal Agencies Sdn Bhd pula menerima Anugerah Kecemerlangan PKS Usahawan Terbaik Halal kerana menunjukkan daya tahan perniagaan dan kemampanan kewangan melalui perancangan strategik dan taktikal.

– BERNAMA

Berita Harian X