Isnin, 21 Februari 2022 | 2:09pm
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib (mencangkung dua dari kiri) mengetuai Program Penanaman Pokok Bakau sempena Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2022 di Jeti Kubang Badak, Langkawi - Foto NSTP/Hamzah Osman
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib (mencangkung dua dari kiri) mengetuai Program Penanaman Pokok Bakau sempena Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2022 di Jeti Kubang Badak, Langkawi - Foto NSTP/Hamzah Osman

125 pelancong positif COVID-19 sepanjang gelembung pelancongan

LANGKAWI: Seramai 125 pelancong asing yang masuk ke pulau peranginan ini disahkan positif COVID-19 sepanjang pembukaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (GPAL).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata bagaimanapun kes positif terbabit dikesan pada tahap satu dan dua serta tiada pelancong kritikal.

"Sejak GPAL dibuka mulai 15 November lalu, seramai 4,600 pelancong asing sudah berkunjung setakat ini dengan dua peratus atau 125 daripadanya disahkan positif COVID-19.

"Keadaan mereka (pelancong asing positif COVID-19) tidak kritikal dan masing-masing hanya dikuarantin di bilik penginapan sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Bakau sempena Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2022 di Jeti Kubang Badak di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan perlanjutan program GPAL dengan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Kemasukan pelancong asing menerusi GPAL diselaraskan mengikut ketetapan dan garis panduan terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan telah diwartakan pada 16 Februari lalu.

"Antaranya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) turut dijadikan sebagai pintu masuk ke Langkawi selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Selain itu, beliau berkata, jumlah insurans perlindungan COVID-19 terhadap pelancong asing juga telah dikurangkan daripada AS$80,000 kepada AS$50,000 sahaja.

"Kita juga dimaklumkan, pelancong asing kini dibenarkan mengunjungi ke destinasi lain dalam negara pada hari kelima setelah menginap di Langkawi selama empat hari, berbanding pada hari kelapan seperti SOP sebelum ini.

"Kita percaya dengan penambahbaikan SOP ini, jumlah kemasukan pelancong antarabangsa ke pulau ini akan terus meningkat selepas ini," katanya.

Berita Harian X