X
Isnin, 21 Februari 2022 | 2:08pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) pada Majlis Pelancaran Aplikasi eDesa - Produk Orang Kita di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) pada Majlis Pelancaran Aplikasi eDesa - Produk Orang Kita di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

20,000 usahawan luar bandar disasarkan daftar e-Desa

KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 usahawan luar bandar disasarkan berdaftar dengan aplikasi e-dagang yang dibangunkan khusus untuk penggiat industri kecil dan sederhana (IKS), e-Desa menjelang hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid, berkata pendaftaran usahawan IKS yang memasarkan produk melalui platform e-Desa dijangka bertambah menjelang Ramadan ini sehingga hujung tahun.

"Setakat ini, seramai 500 usahawan luar bandar yang telah berdaftar dan dijangka pada Ramadan nanti ia meningkat kepada 1,000 orang dan menjelang hujung tahun sehingga 20,000 pendaftaran.

"Agensi di bawah KPLB juga bersedia untuk membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui platform berkenaan.

"E-Desa boleh bersama-sama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), memainkan peranan bersama-sama untuk kesejahteraan rakyat iaitu bagaimana nak meningkatkan pendapatan dan hasil masyarakat luar bandar khususnya peniaga kecil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Aplikasi e-Desa di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Urusan eDesa, Saiful Zaharin Zakariya.

Mahdzir berkata, KPLB melihat e-Desa berpotensi untuk dibangunkan dengan melihat ia seiring dan melengkapi program Desa Mall@KPLB yang menjadi platform usahawan tempatan berniaga secara dalam talian dan fizikal.

"Kita di KPLB mempunyai banyak agensi yang memberi pinjaman, geran dan khidmat nasihat kepada peniaga kecil.

"Diharap e-Desa akan memberi peluang dan ruang kepada produk 'orang kampung' dipasarkan dengan lebih meluas dan bakal menjadi aplikasi wajib bagi setiap rakyat Malaysia terutama untuk mendapatkan produk serta perkhidmatan buatan tempatan," katanya.

e-Desa yang dibangunkan pasangan suami isteri yang juga usahawan, Saiful Zaharin Zakariya dan Fadhilah Azmi dari Kuala Nerang adalah aplikasi e-dagang memfokuskan jualan produk dan perkhidmatan IKS termasuk pertanian, hasil laut, makanan, inap desa, barang mentah dan buah-buahan.

Berita Harian X