Isnin, 21 Februari 2022 | 12:11pm
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman. - FOTO NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman. - FOTO NSTP/ HAFIZ SOHAIMI

Tingkat infrastruktur digital negeri bantu lonjak KDNK negara

KUALA LUMPUR: Negara mampu mencapai peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 1.3 peratus sekiranya penambahbaikan kepada peraturan berkaitan perniagaan dilaksanakan termasuk membabitkan penyediaan infrastruktur digital di setiap negeri.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, inisiatif diperkenalkan secara digital itu juga akan membantu melonjakkan prestasi Malaysia di tangga 10 teratas di dalam Indeks Daya Saing Digital Global menjelang 2025.

Malah, katanya ia akan turut memperkukuh persekitaran perniagaan melalui penyampaian peraturan berkualiti.

"Seperti dinyatakan melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), terdapat perbezaan dasar dan peraturan berkaitan penyediaan infrastruktur digital di setiap negeri dan antara usaha menambah baik kedudukan petunjuk ini adalah mempercepatkan pembinaan infrastruktur digital.

"Ia boleh dilakukan melalui pelaksanaan sesi libat urus secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman industri mengenai usaha kerajaan dalam menambah baik persekitaran perniagaan, terutamanya berkaitan dengan pembinaan infrastruktur digital di tepi lebuh raya.

"Kerjasama kementerian dan agensi berkaitan juga perlu dipertingkatkan bagi pengharmonian data infrastruktur yang penting dalam merangka intervensi bersesuaian untuk mengatasi isu pembinaan infrastruktur digital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Inisiatif berkenaan dibentangkan dalam Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Abdul Latif berkata, MPC akan memberi tumpuan kepada pengurusan perubahan diterajui bersama MyDIGITAL Corporation dengan kerjasama termasuk daripada Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), Nexus Produktiviti serta pihak kementerian dan agensi.

Beliau berkata, teknologi dan digitalisasi faktor penting pertumbuhan produktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

MPC juga katanya, turut menjalankan kajian terperinci ke atas petunjuk daya saing bagi mengenal pasti isu spesifik yang menjadi cabaran kepada daya saing negara bagi pelaksanaan penambahbaikan.

"Proses penambahbaikan ini dilaksanakan secara bersama antara sektor awam dan swasta melalui pendekatan inovasi kerjasama," katanya.

Berita Harian X