Ahad, 20 Februari 2022 | 2:31pm
(Gambar fail) Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL ADRI SAALI
(Gambar fail) Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL ADRI SAALI

Segera kaji semula pekeliling elaun penjawat awam - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Pekeliling berhubung pemberian beberapa elaun bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah antara perkara perlu dikaji semula oleh kerajaan dengan secepat mungkin, bersesuaian situasi semasa yang dihadapi penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata pemberian elaun seperti Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Elaun Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Bomba bawah sistem itu ketika ini, dibuat pada kadar kecil serta tidak setimpal dengan risiko tugasan dihadapi sesetengah penjawat awam.

"Kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (IKTA) pula sudah lama tidak ditingkatkan. Begitu juga Elaun Risiko Penguat Kuasa yang kini kita dapati hanya sebahagian skim perkhidmatan (sektor) dapat menikmatinya, manakala petugas dalam sektor lain tidak diberikan kemudahan serupa.

"Justeru, inilah yang kita maksudkan perlu dibuat kajian menyeluruh agar ia lebih seragam (pemberian elaun), teratur dan saksama kepada seluruh skim yang ada dalam perkhidmatan awam," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Khamis lalu, yang mahu semua pekeliling perkhidmatan awam sedia ada dikaji semula bagi memastikan sama ada ia masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memantau pelaksanaan beberapa pekeliling yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan aduan diterima, ada sebahagian ketua jabatan atau ketua perkhidmatan tidak mengambil berat ataupun memandang enteng pelaksanaan yang ditekankan dalam pekeliling.

"Contohnya, pekeliling perkhidmatan berkenaan kenaikan pangkat secara 'Time-Based' Berasaskan Kecemerlangan yang perlu dilaksanakan selepas genap tempoh 13 tahun untuk kali pertama dan kali kedua juga 13 tahun, namun ia tidak diguna pakai secara sistematik.

"CUEPACS mendapat banyak aduan mengenai perkara ini dan ia memberi kesan motivasi tidak baik kepada penjawat awam, sedangkan pekeliling itu wujud untuk memberi ruang mereka naik pangkat sepanjang tempoh berada dalam perkhidmatan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X