Ahad, 20 Februari 2022 | 11:28am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kanak-kanak dijangkiti COVID-19 perlu divaksin elak keradangan organ

PUTRAJAYA: Kanak-kanak bawah 18 tahun yang dijangkiti COVID-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak.

Sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 25 kes membabitkan bayi berusia bawah satu tahun, satu tahun hingga lima tahun (38 kes), lima hingga sembilan tahun (64 kes), sembilan hingga 12 tahun (36 kes) dan berusia lebih 12 tahun (11 kes).

"Sehingga kini, tujuh kes atau empat peratus kematian kanak-kanak disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19.

"Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID iaitu sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data terhad yang diperolehi pihaknya setakat ini menunjukkan risiko itu adalah lebih rendah berbanding orang dewasa, namun buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai kesan jangka masa panjang Long-COVID kepada kanak-kanak.

Majoriti daripada kes membabitkan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun (100 kes) memerlukan mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Keradangan yang dialami termasuk bulbar conjunctivitis, bibir merah dan merekah, cervical and mesenteric lymphadenopathies (keradangan nodus limfa di mesenterik dan serviks), ruam kulit, kegagalan ventrikel kiri pada jantung, masalah pada sistem penghadaman selain kesan terhadap sistem pernafasan dan saraf.

Dr Noor Hisham, berkata kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang serius terdiri daripada pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma, dan obesiti.

Beliau berkata, bermula awal Januari sehingga pertengahan Februari tahun ini, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 50,826 kes, dengan 34,857 kes atau 68.58 peratus dalam kategori 2.

Katanya, 15,817 kes atau 31.12 peratus dalam kategori 1, 120 kes (0.24 peratus) dalam kategori 3, kategori 4 membabitkan 28 kes (0.006 peratus) dan ada empat kes dalam kategori 5 (0.001 peratus).

Dr Noor Hisham berkata, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 12 tahun didapati semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes COVID-19 di dalam negara.

"Peningkatan dilihat lebih ketara dalam pada Februari terutama bagi kategori 2 hingga kategori 5.

"Ini mungkin disebabkan oleh penularan Varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi, lalu menyebabkan risiko pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, selain impak kesihatan akibat jangkitan COVID-19, aspek persekolahan dan pendidikan juga terkesan dengan pandemik yang berlarutan memberi kesan yang tidak sihat kepada perkembangan psikologi dan sosial kanak-kanak.

Berikutan itu, beliau berkata, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko terhadap kanak-kanak yang dilihat sebagai golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi.

Katanya, vaksin COVID-19 Comirnaty (Pfizer-BioNTech) sudah diluluskan untuk penggunaan terhadap kanak-kanak berusia lima sehingga 11 tahun di Malaysia dan daripada kajian klinikal, keberkesanannya adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19.

Katanya, ini dapat mengurangkan risiko penyakit COVID-19 yang serius.

"Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun semakin meningkat berikutan kenaikan kes jangkitan virus itu di dalam negara dengan peningkatan dilihat lebih ketara pada Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga lima.

Katanya, bermula awal Januari hingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 50,826 orang.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 15,817 merupakan kategori satu, 34,857 kategori dua, 120 kes (kategori tiga), 28 kes (kategori empat) dan empat kes (kategori lima).

Katanya, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak remaja berusia 11 hingga 17 tahun juga meningkat.

Beliau berkata ini mungkin disebabkan oleh penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi.

Berita Harian X