Sabtu, 19 Februari 2022 | 8:26pm
- Foto Facebok AFES Sdn Bhd
- Foto Facebok AFES Sdn Bhd

Nestlé Malaysia, AFES laksana program kitar semula kaki lima di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menggalakkan kutipan sisa plastik dan kitar semula, Nestle (Malaysia) Bhd (Nestlé Malaysia) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) bagi melaksanakan program kitar semula kaki lima di Kuala Lumpur.

Nestlé Malaysia memaklumkan, melalui program itu, kedua-dua syarikat akan meningkatkan pembabitan orang ramai dalam aktiviti kitar semula kaki lima di ibu negara, termasuk kutipan pintu ke pintu bagi kediaman bertanah, sama ada di premis berpagar atau tidak berpagar, dengan fasa pertama akan bermula pada bulan depan di 15 kawasan perumahan.

Kawasan yang terbabit termasuk Damansara, Bukit Persekutuan, Taman Bukit Pantai, Taman Bandaraya, Seksyen 16, Kiara View, Taman Villa Serene Kiara II, Bangsar Baru, Bukit Tunku, Lucky Garden, Bangsar, Desa Seri Hartamas, Taman Bangsar, Taman Sa dan Taman Sri Hartamas.

"Fasa pertama akan membabitkan lebih 10,000 penduduk kediaman bertanah, di mana kutipan khusus bagi sisa boleh dikitar semula akan dilaksanakan AFES.

"Bagi tujuan ini, AFES akan menyediakan dua trak jongket terbuka 11 tan dan menetapkan laluan serta jadual kutipan baharu untuk mengutip bahan kitar semula.

"Fasa kedua program dijangka bermula pada Mei, membabitkan 9,000 penghuni pangsapuri di kawasan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nestlé Malaysia berkata, seperti inisiatif kitar semula oleh syarikat itu sebelum ini iaitu di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, rumah kediaman yang turut serta akan dibekalkan dengan bekas kitar semula dan risalah program, dan bahan yang akan dikutip termasuk kertas, kadbod, plastik, karton minuman terpakai, besi dan kaca.

- Foto Facebok AFES Sdn Bhd
- Foto Facebok AFES Sdn Bhd

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata dengan sokongan AFES dan rakan kerjasama jangka panjang syarikat itu, Tetra Pak, pihaknya berharap dapat meningkatkan kadar pengasingan, pengutipan dan kitar semula.

"Usaha ini sejajar dengan komitmen kami untuk memastikan tiada pembungkusan oleh kami, termasuk plastik akan memasuki kambus tanah atau menjadi sampah sarap, sekali gus memenuhi visi kami untuk membina masa depan tanpa sisa," katanya.

Pengarah AFES, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata melalui kerjasama dengan Nestlé Malaysia, pihaknya yakin dapat menyumbang kepada masa depan Kuala Lumpur yang lebih lestari dan memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu.

Berita Harian X