Sabtu, 19 Februari 2022 | 6:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Jangkitan COVID-19 kanak-kanak Sabah tinggi

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi membabitkan kanak-kanak berumur bawah 11 tahun dan belum menerima pelalian COVID-19 dengan seramai 673 orang dijangkiti virus berkenaan, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 12.56 peratus daripada 5,395 kes jangkitan baharu COVID-19 di Sabah, hari ini.

"Jumlah kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun yang dijangkiti COVID-19 kekal tinggi iaitu 673 orang dengan 283 orang daripada mereka berumur di bawah lima tahun yang belum layak diberi vaksin.

"Seramai 390 orang lagi berumur antara lima tahun hingga 11 tahun yang belum menerima vaksin walaupun sudah layak memperolehinya.

"Amatlah disarankan agar ibu bapa membawa anak-anak yang sudah layak divaksin untuk memperolehinya bagi mengurangkan risiko jangkitan atau kesan jangkitan yang lebih serius," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Sabah hari ini kekal mencatat kes baharu COVID-19 yang tinggi dengan 5,359 kes, walaupun susut 206 kes berbanding 5,565 kes yang dilaporkan semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata 99.66 peratus atau 5,341 kes daripada keseluruhan kes baharu hari ini menunjukkan tahap jangkitan dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala sembilan kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan lima kes lagi dalam Kategori 5.

"Secara keseluruhan jumlah kes baharu di semua daerah di Sabah adalah bercampur-campur, ada daerah yang mencatatkan penurunan dan tidak kurang pula daerah yang mencatat pertambahan kes.

"Dengan peratusan jumlah kes jangkitan sporadik dalam komuniti yang masih tinggi iaitu hampir 61.4 peratus hari ini, adalah diramalkan bahawa jumlah kes harian dalam masa terdekat akan kekal tinggi," katanya.

Beliau berkata, Kota Kinabalu kekal mencatat jumlah kes harian tertinggi di Sabah dengan 1,362 kes, diikuti Penampang (583), Tuaran (494), Putatan (457), Papar (293), Lahad Datu (244), Tawau (243), Beaufort (233), Sandakan (207), Kota Belud (203), Keningau (166), Kota Marudu (150) dan Ranau (147).

Katanya, daerah yang mencatat jumlah kes harian yang tinggi juga sinonim dengan peratusan jangkitan sporadik yang tinggi iaitu 62.5 peratus di Kota Kinabalu, diikuti Penampang (64.1 peratus), Tuaran (56.3 peratus), Putatan (75.5 peratus), Papar (56 peratus), Lahad Datu (62.3 peratus), Tawau (73.6 peratus), Beaufort (68.2 peratus), Sandakan (83 peratus) dan Kota Belud (60.6 peratus).

"Kita boleh simpulkan bahawa jumlah kes harian yang tinggi setiap hari berpunca daripada jangkitan dalam komuniti yang sukar dibendung lantaran tidak diketahui punca dan tempat jangkitan berlaku.

"Cara terbaik untuk mengelak terdedah kepada jangkitan ialah mengelakkan berada dalam kumpulan orang yang ramai seperti tempat awam yang penuh sesak. Patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Berita Harian X