Sabtu, 19 Februari 2022 | 4:32pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

OKU tolak kaedah JKMPay

KUALA LUMPUR: Sekumpulan organisasi dan perseorangan yang memperjuang nasib orang kelainan upaya (OKU) hari ini menolak pelaksanaan Projek Bayaran Bantuan Bulanan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMPay).

Dalam satu kenyataan hari ini, mereka menyifatkan pelaksanaan program itu sebagai penganiayaan terhadap golongan OKU, sekali gus menuntut ia dihentikan serta-merta.

Katanya, JKMPay yang dilancarkan pada 9 April tahun lalu, secara jelas mendiskriminasi dan menindas golongan OKU yang sedia susah dan semakin disulitkan dengan sistem bantuan terbabit.

"Kami amat kecewa dengan pelaksanaan JKMPay dan mendesak pihak Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengekalkan semula pembayaran elaun pekerja OKU (EPOKU) dan bantuan lain secara wang tunai keseluruhannya.

"Adalah menjadi kewajipan KPWKM untuk membabitkan wakil komuniti OKU dalam setiap perbincangan dan perubahan dasar serta mekanisme berkaitan komuniti OKU," katanya,

Kenyataan itu disokong 50 organisasi berkaitan OKU termasuk Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia (MCD), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MCD), Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia, Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia (PEWAKUM), Persatuan WeCareJourney serta Persatuan Braille Malaysia.

Turut menyokong kenyataan itu, 118 individu termasuk Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi; Presiden MCD, Mohamad Sazali Shaari serta Ketua Pegawai Eksekutif Boleh Space, Yana Karim.

Mengulas lanjut, mereka menjelaskan pendekatan JKMPay mewujudkan kesukaran kepada komuniti OKU seperti penambahan kos pengangkutan bagi mereka membeli barang hanya di kedai yang berdaftar dengan Bank Islam.

"Menyusahkan OKU terutama yang mengalami pelbagai kesukaran dalam aspek mobiliti, akses kepada kemudahan, serta sistem sokongan sosial.

"Bagi OKU di luar bandar, tidak ada atau tidak banyak kedai panel JKM atau yang berdaftar dengan Bank Islam untuk mereka menggunakan bantuan melalui JKMPay.

"Begitu juga bagi yang tinggal di bandar, kebanyakan penerima bantuan tinggal di rumah pangsa atau di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Jika sebelum ini mereka boleh membeli barangan keperluan dan ubat-ubatan dari mana-mana kedai berhampiran rumah, bayangkan mereka kini terpaksa bersusah-payah ke kedai berdaftar yang mungkin jauh dari tempat tinggal mereka, sekali gus terpaksa menanggung kos tambahan untuk pengangkutan," katanya.

Tambah membebankan, katanya, adalah bagi mereka yang menghadapi masalah mobiliti dan berkerusi roda serta tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak.

Justeru, mereka menuntut KPWKM segera menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan penyertaan pemimpin OKU untuk mengkaji semula dan menghentikan diskriminasi dalam pelaksanaan projek ini.

"Kerajaan sering menguar-uarkan konsep Keluarga Malaysia dan tiada sesiapa yang akan terpinggir, namun dari segi pelaksanaan JKMPay ini, realitinya berbeza kerana golongan OKU dipinggirkan," katanya.

Program JKMPay dilancarkan pada 9 April tahun lalu, yang mana elaun bantuan diberi secara tunai 50 peratus dan kredit di dalam Kad Cashless JKMPay 50 peratus, dengan penerima boleh membuat belian di kedai berdaftar di seluruh negara.

Berita Harian X