Sabtu, 19 Februari 2022 | 4:05pm

Sistem permohonan skim pembiayaan informal makro digodam

JOHOR BAHRU: Sistem permohonan dalam talian Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) yang sedang ditambah baik dan dinaik taraf digodam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, ia menyebabkan berlaku kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan dibawa skim tersebut.

Namun, katanya, pihak TEKUN Nasional selaku agensi bertanggungjawab sudah membuat laporan polis berhubung kejadian pada Rabu lalu.

"TEKUN Nasional menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa singkat untuk pembiayaan SPIM ini. Dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun sudah habis dalam tempoh 2 minggu.

"Sebanyak 23,767 permohonan sudah diterima dan sehingga 15 Februari lalu, 15,902 permohonan diluluskan dengan nilai RM130.5 juta.

"Bagi memastikan kelancaran permohonan SPIM, TEKUN Nasional mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan atas talian," katanya dalam satu kenyataan selepas membuat penyerahan 54 cek pembiayaan SPIM bernilai RM367,000 kepada usahawan di sekitar Parlimen Iskandar Puteri dan Pulai Johor, di sini, hari ini.

SPIM ialah skim bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas daripada wabak COVID-19 dan bencana banjir.

Permohonan dibuka pada 1 hingga 15 Januari lalu, dengan jumlah dana yang diperuntukan RM200 juta.

Menerusi SPIM, usahawan ditawarkan dengan nilai pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.

Noh berkata, pihak TEKUN turut mengambil langkah-langkah bagi mengatasi isu ini secepat mungkin antaranya penyaluran pembiayaan melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN Cawangan di seluruh negara, oleh kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut.

"Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13,370 usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik.

"Penyaluran pembiayaan ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya pada pertengahan bulan Mac ini," katanya.

Buat masa ini, usahawan boleh hadir ke Pejabat TEKUN Cawangan berhampiran bagi mendapatkan maklum balas berkenaan permohonan pembiayaan.

Berita Harian X