Sabtu, 19 Februari 2022 | 3:39pm
Orang ramai beratur menunggu giliran sempena pembukaan kiosk bantuan MySejahtera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - NSTP/OWEE AH CHUN.
Orang ramai beratur menunggu giliran sempena pembukaan kiosk bantuan MySejahtera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - NSTP/OWEE AH CHUN.

'Helpdesk' fizikal MySejahtera habis angka giliran

KUALA LUMPUR: Inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan 'helpdesk' atau kiosk bantuan secara fizikal bagi menyelesaikan masalah berkaitan maklumat dalam aplikasi MySejahtera mendapat sambutan menggalakkan.

KKM menerusi perkongsian di media sosial memaklumkan, kiosk bantuan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu mula beroperasi hari ini dan mendapat sambutan baik sehingga kehabisan angka giliran.

"Mohon maklum, disebabkan sambutan yang menggalakkan, nombor giliran hari ini untuk kiosk bantuan MySejahtera WTCKL sudah habis dikeluarkan.

"Sila hadir pada tarikh seterusnya. Sebarang kesulitan dikesali. Terima Kasih," menurut perkongsian berkenaan.

Kiosk bantuan MySejahtera di WTCKL beroperasi pada 19, 20, 26 dan 27 Februari serta 5,6,12 dan 13 Mac depan, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Selain WTCKL, KKM membuka kiosk sama di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 26 dan 27 Februari ini serta 5 dan 6 Mac depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini berkata, KKM akan menubuhkan 'helpdesk' secara fizikal di beberapa lokasi bagi menyelesaikan masalah berkaitan maklumat dalam aplikasi MySejahtera.

Jelasnya, ia termasuk isu membabitkan maklumat seperti sijil vaksinasi digital.

Usaha itu dilakukan selepas beliau menerima aduan daripada orang ramai yang masih menunggu mendapatkan sijil vaksinasi digital masing-masing.

Berita Harian X