Sabtu, 19 Februari 2022 | 1:50pm

RM300 juta untuk Lebuhraya Bukit Tiu-Kampung Berangan Mek Nab

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta dalam pelaksanaan Lebuh Raya Rakyat di Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab membabitkan jajaran sepanjang 10 kilometer (km).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan berkenaan sudah diluluskan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijangka bermula pada April ini dan memerlukan tempoh 36 bulan untuk disiapkan.

Katanya, dua tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan mengenai hala tuju projek berkenaan dan pada tahun lalu mencapai persetujuan untuk menjalinkan kerjasama.

"Dalam persetujuan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyambung serta menyiapkan jajaran sepanjang 10km dan kerajaan negeri sudah pun menyiapkannya sebanyak 35 peratus," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) di Kok Lanas, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Datuk Azami Mohd Nor.

Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata, bagi perkembangan pelaksanaan Pakej 2B iaitu dari Ketereh ke Kok Lanas yang sedang dilaksanakan pada masa ini mengalami kelewatan sebanyak 15 peratus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain isu pengambilan tanah.

"Projek sepanjang 6.2km ini sebenarnya di peringkat awal tidak menghadapi sebarang masalah dan berjalan mengikut jadual, namun difahamkan pada Oktober tahun lalu pihak kontraktor berhadapan dengan masalah kewangan berikutan kenaikan kos bahan binaan.

"Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan Pakej 2B (dari Ketereh ke Kok Lanas) yang sedang dilaksanakan sepatutnya dapat diselesaikan pada akhir Mac tahun ini namun ia dijangka siap pada Oktober nanti.

"Bagaimanapun, pembinaan projek ini akan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan setakat ini tidak ada isu yang berbangkit mengenai kos tambahan bagi menyiapkan projek ini. Jika mengikut kos awal ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta, namun setakat ini RM168 juta," katanya.

Beliau berkata, projek Lebuh Raya KB-KK membabitkan jajaran 67.56km dengan anggaran kos keseluruhan RM2.7 bilion dijangka siap pada 2025 dan akan bersambung dengan projek Central Spine Road yang bermula di Kuala Krai.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan pakej di bawah projek Lebuh Raya KB-KK yang secara tidak langsung akan memberi impak yang besar kepada rakyat Kelantan, terutamanya dalam mengatasi kesesakan ketika musim perayaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

"Projek ini juga adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dan seterusnya merapatkan jurang pembangunan antara wilayah sebagaimana yang menjadi salah satu tumpuan dalam RMK-12," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat peta projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat peta projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X