Sabtu, 19 Februari 2022 | 11:46am
Gambar hiasan - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar hiasan - NSTP/ASYRAF HAMZAH

168 kes baharu VOC babit Delta, Omicron

KUALA LUMPUR: Sebanyak 168 kes baharu COVID-19 dikesan membabitkan varian membimbangkan (VOC) sepanjang tempoh 13 Februari lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia meliputi 33 jangkitan varian Delta, manakala 135 lagi Omicron.

"Daripada jumlah itu, Institute of Health and Community Medicine (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), mengenal pasti 92 kes; Medical Molecular Biology Institute (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 39 kes; dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 37 kes.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus itu yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) mencecah 7,754 kes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan setakat ini, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 6,537 kes varian Delta direkodkan, Omicron (950), Beta (233) dan Alpha (14).

"Bagi kes VOI pula, terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (empat) dan Eta (tiga)," katanya.

Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan, iaitu mengelakkan 3S (kawasan sesak, sempit dan sembang pada jarak dekat).

Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengamalkan 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), serta amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Berita Harian X