Jumaat, 18 Februari 2022 | 10:49pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada penyanyi, Aida Agil pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2022 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor. NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada penyanyi, Aida Agil pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2022 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor. NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN

Perbezaan kaum satu kelebihan merapatkan, bukan memisahkan - PM

ISKANDAR PUTERI: Masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu menjadikan perbezaan sebagai satu kelebihan dan keistimewaan untuk merapatkan, bukan untuk memisahkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, di sebalik perbezaan, masyarakat negara ini harus mengutamakan sikap toleransi dan saling memahami mengenai agama, adat dan budaya yang sudah terjalin sekian lama di negara tercinta.

"Kita dapat melakukan ini dan kita mampu untuk hidup aman dan harmoni, sekali gus dapat menterjemahkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar, Keluarga Malaysia.

"Kita telah menyaksikan seluruh Keluarga Malaysia, ketika berdepan saat sukar seperti pandemik COVID-19, berganding bahu menyumbang untuk memulihkan semula negara.

"Tidak kira apa juga bangsa dan agama, kita saling menyokong dan membantu antara satu sama lain.

"Saya yakin tahun 2022 akan membawa sinar baharu kepada kita semua sebagai negara yang berbilang bangsa dalam menghadapi cabaran dan dugaan demi melakar Malaysia yang lebih dinamik dan berdaya saing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2022, di Stadium Tertutup Educity, di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, menjadi satu amalan bagi Keluarga Malaysia meraikan sambutan perayaan kaum lain secara bersama dalam suasana harmoni.

Katanya, keharmonian masyarakat Keluarga Malaysia inilah yang menjadi kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

"Nilai kebersamaan dan permuafakatan sedia ada pula, menyemarakkan lagi keunikan masyarakat majmuk kita di persada antarabangsa yang sekali gus menyerlahkan imej Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan warisan seni dan budaya.

"Justeru, intipati Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2020-2030 yang telah saya lancarkan pada Oktober tahun lalu, memberi penekanan kepada perspektif mengangkat kebudayaan yang seringkali dilihat dalam konteks pencapaian peradaban dan tamadun.

"Inilah yang menjadi kebanggaan sebuah negara maju, yang telah berjaya menzahirkan khazanah tinggalan tamadun sebagai aset warisan negara, yang memberi pulangan kepada pendapatan negara sebagai produk tarikan pelancong," katanya.

Berita Harian X