Jumaat, 18 Februari 2022 | 3:31pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berbual bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek dan penerima sijil ketika majlis Apresiasi Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di Putrajaya, hari ini. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berbual bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek dan penerima sijil ketika majlis Apresiasi Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops BAHIS) di Putrajaya, hari ini. - Foto MOHD FADLI HAMZAH

KKMM, MOF bentang memorandum Jemaah Menteri selesaikan isu DNB

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF) dijangka membentangkan memorandum Jemaah Menteri bulan depan, bagi menyelesaikan isu berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kedudukan DNB dan sistem Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) atau 'Dual Wholesale Network' yang menjadi perdebatan dan polemik itu perlu diselesaikan segera, susulan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) semalam.

Beliau berkata, kementeriannya sudah selesai menyiapkan memorandum itu, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan KKMM dan MOF mengemukakan memorandum Jemaah Menteri bagi memuktamadkan konsep dan 'way forward' (jalan penyelesaian) dalam soal melaksanakan jalur lebar 5G.

"Ini kita sudah siapkan semalam... kedua-dua kementerian (KKMM dan MOF) duduk bersama dan muktamadkan draf memorandum yang akan diedarkan kepada beberapa kementerian yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan

"Jika perkara ini dibiarkan berlarutan ia akan menjejaskan program pelaksanaan 5G yang juga faktor utama kepada program Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan pelaksanaan MyDIGITAL," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Operasi Bantu Hingga Selesai (Op BAHIS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Seperti dalam pelan tindakan MyDigital, DNB diberikan tempoh sebelum akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G ke kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur sebagai permulaan.

Ia akan membangunkan semua infrastruktur pelaksanaan 5G dengan kerjasama syarikat telekomunikasi sedia ada di negara ini untuk menjimatkan kos.

Annuar berkata, Perdana Menteri juga memberi arahan supaya setiap agensi dan kluster membuat pelaporan kepada MED4IRN setiap tiga bulan dan ini termasuk kluster yang dipengerusikannya iaitu Kluster Infrastruktur Digital dan Data.

"Ini bermakna negara kita meletakkan agenda digital ekonomi dan program 4IR (Revolusi Perindustrian Keempat) serta pelaksanaan MyDIGITAL pada keutamaan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata beberapa kertas cadangan telah dibentangkan pada MED4IRN semalam antaranya berkaitan mewujudkan projek ikonik sebagai dorongan pelaksanaan program ekonomi digital.

Selain itu, Annuar berkata, Ops BAHIS yang bermula pada 29 Disember 2021 dan berakhir 2 Januari lalu berkonsepkan keluarga angkat membabitkan 1,500 sukarelawan bagi membantu membersihkan 172 buah rumah di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat,Bukit Changgang, Sepang dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Katanya, misi itu juga membantu mengangkut keluar kira-kira 6,000 tan sampah dari tiga kawasan terbabit dan menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada mangsa yang terbabit hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, enam syarikat telekomunikasi turut terlibat dalam membantu mangsa banjir memulihkan 99 peratus perkhidmatan dan baik pulih rangkaian mudah alih di semua kawasan terjejas banjir membabitkan kos RM25 juta.

"Kementerian turut mewujudkan Tabung Bencana KKMM dan berjaya mengumpul RM2.18 juta di bawah agensi KKMM bagi membantu mangsa banjir," katanya.

Berita Harian X