Khamis, 17 Februari 2022 | 8:56pm

Seksyen 17A Akta SPRM dikuat kuasa sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009) bagi memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara yang menurun sejak dua tahun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata walaupun CPI tidak bergantung sepenuhnya kepada aspek rasuah, undang-undang itu penting sebagai panduan untuk membudayakan amalan bersih rasuah.

"Kedudukan CPI negara bukan dilihat selain aspek rasuah sahaja sebaliknya isu tadbir urus, hak asasi manusia, kebebasan media dan kestabilan politik mempengaruhi kedudukan CPI.

"Undang-undang baharu ini (Seksyen 17A) bertujuan mengekang rasuah berkaitan rasuah dan perkara penting adalah bagaimana budaya bersih rasuah menjadi amalan semua pihak," katanya merujuk kepada pertanyaan mengenai Seksyen 17A yang dilihat masih belum menjadi senjata utama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam CPI 2021, baru-baru ini.

Januari lalu, Malaysia merekodkan penurunan dalam CPI 2021 dua tahun berturut-turut apabila jatuh lima anak tangga kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara. Tahun 2020, negara di tangga ke-57.

Ahmad Khusairi berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Program Excel bersama Ramssol Group Berhad dan Elmu Education Group Sdn Bhd (ELMU), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Pengerusi ELMU Education Group Sdn Bhd, Datuk Seri Muhamad Adlan Berhan; Pengarah Urusan Ramssol Group Berhad, Datuk Seri Cllement Tan dan Pengerusi ELMU V Sdn Bhd, Datuk Victor Hoo.

Ditanya mengenai pelabur-pelabur asing Malaysia yang mempengaruhi kedudukan CPI negara, Ahmad Khusairi berkata, kelompok itu juga tidak terkecuali untuk melaksanakan amalan bebas rasuah.

"Mereka perlu patuh dan menjadikan budaya bersih rasuah ini sebagai satu amalan," katanya.

Mengulas mengenai adakah SPRM berpuas hati dalam pelaksanaan pelan rasuah di negara, beliau berkata masih banyak syarikat besar termasuk dalam senaraian awam di negara ini belum menjalankan program berkaitan Seksyen 17A.

"Kita tidak mahu memberikan kesedaran mengenai undang-undang ini sahaja kepada mereka, sebaliknya mereka perlu melaksanakan pelan untuk memastikan agenda bebas rasuah dilaksanakan sepenuhnya dalam organisasi mereka," katanya.

Tambah beliau, kekurangan pendakwaan kes membabitkan kesalahan Seksyen 17A adalah disebabkan undang-undang ini masih baharu dan mempunyai tempoh masa yang sudah ditetapkan.

Ketika ini difahamkan, hanya seorang individu dan sebuah syarikat sewa kapal yang didakwa di bawah undang-undang yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2020.

Berita Harian X