Khamis, 17 Februari 2022 | 3:56pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

MDA keluar 44 surat amaran ke atas syarikat jual kit ujian kendiri tidak berdaftar

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) boleh merampas kit ujian kendiri COVID-19 tidak berdaftar serta tidak mempunyai kelulusan bersyarat yang dijual di pasaran.

Penolong Pengarah Bahagian Pascapasaran dan Penguatkuasaan MDA, Muhammad Khairul Ashraf Zakaria, berkata tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas syarikat atau individu yang mengimport, mengeksport atau meletakkan produk berkenaan dalam pasaran tanpa kebenaran.

Selain itu, katanya berkuat kuasa 1 Januari lalu, semua pengiklanan yang mengandungi sebarang tuntutan atau kenyataan peranti perubatan termasuklah kit ujian kendiri COVID-19, diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan dengan pihak MDA sebelum diiklankan.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai pemeriksaan kit ujian kendiri COVID-19 di tiga lokasi iaitu Kepong, Sungai Buloh dan Bandar Seri Putra, hari ini bagi tujuan menyiasat aduan diterima berkaitan kit ujian terbabit.

Mengulas lanjut, katanya hasil pemeriksaan ke atas tiga establismen itu, dua surat amaran dikeluarkan namun ia bukanlah berkaitan kit ujian kendiri COVID-19.

Muhammad Khairul Ashraf Zakaria. - NSTP/Amirudin Sahib
Muhammad Khairul Ashraf Zakaria. - NSTP/Amirudin Sahib

"Pemeriksaan terbabit adalah bagi mengenal pasti saluran pembekal dan pemeriksaan mendapati ketiga-tiga syarikat itu mendapat kit ujian daripada pembekal berdaftar dengan MDA.

"Kami menasihatkan wakil syarikat mengenai perkara berkaitan pelesenan, yang mana mereka perlu mengemas kini maklumat dengan pihak Conformity Assessment Body (CAB) dari semasa ke semasa," katanya

Sementara itu, Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali berkata, pihaknya akan menumpukan pemeriksaan ke atas pengimport dan penjual kit ujian kendiri COVID-19 bagi memastikan produk terbabit yang dijual di pasaran tulen serta berdaftar.

Beliau berkata, setakat ini 28 pengimport dan penjual kit ujian kendiri COVID-19 sudah diperiksa dengan sebuah syarikat yang mengimport dan meletakkan produk itu yang tidak berdaftar serta tidak mempunyai kelulusan bersyarat diserbu.

Pada masa sama, katanya MDA mengeluarkan 44 surat amaran ke atas syarikat yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 tidak berdaftar serta tidak mempunyai kelulusan bersyarat.

"Kita memang melakukan pemantauan terhadap penjualan kit ujian kendiri COVID-19 secara berterusan di pasaran. Sebagai contoh tahun lalu, MDA menjalankan 94 pemeriksaan dan melakukan tiga serbuan terhadap syarikat yang mengimport dan menjual kit ujian COVID-19 tidak mempunyai kelulusan bersyarat.

"Setakat ini, tiada lagi syarikat dikenakan kompaun berkaitan kit ujian terbabit, namun MDA sudah mengeluarkan 44 surat amaran ke atas syarikat yang menjual kit ujian kendiri COVID-19 tidak berdaftar dan tidak mempunyai kelulusan bersyarat," katanya.

Berita Harian X