Khamis, 17 Februari 2022 | 2:42pm
Isu rasuah dan integriti wajar ditangani segera demi memelihara imej perkhidmatan awam Malaysia dan juga negara. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Isu rasuah dan integriti wajar ditangani segera demi memelihara imej perkhidmatan awam Malaysia dan juga negara. FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Alumni PTD sedia bekerjasama perkukuh integriti perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) menyokong penuh saranan tahap integriti penjawat awam diperkukuh untuk membendung gejala rasuah dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Untuk itu, Presidennya, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, Alumni PTD sedia bekerjasama dengan pemimpin perkhidmatan awam untuk memastikan misi itu tercapai.

Beliau berkata, saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali melalui Majlis Amanat KSN pada 4 Februari lalu, kena pada masanya memandangkan akhir-akhir ini rasuah dalam perkhidmatan awam mendapat liputan meluas dalam dan luar negara.

Justeru, katanya, ia wajar ditangani segera demi memelihara imej perkhidmatan awam Malaysia dan juga negara.

"Selari Pelan Anti-Rasuah Negara, tindakan lebih tegas harus diambil dengan segera untuk memastikan usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dapat berjalan lancar dan benar-benar mengurangkan ketirisan disebabkan perbuatan rasuah.

"Dalam konteks ini, Alumni PTD bersedia untuk mengadakan kerjasama rapat dengan pemimpin perkhidmatan awam ke arah memperhebatkan lagi usaha meningkatkan integriti dan membenteras rasuah dalam perkhidmatan awam," katanya.

Sebelum ini, Mohd Zuki melalui Majlis Amanat KSN menggesa ketua jabatan dan penjawat awam melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi (OACP) yang dibangunkan agensi masing-masing.

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya memperkukuhkan tahap integriti bagi membendung gejala rasuah dalam perkhidmatan awam, di samping mempertingkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan mereka untuk memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

Berita Harian X