Khamis, 17 Februari 2022 | 1:34pm
Semua penjawat awam memainkan peranan memulihkan semula imej perkhidmatan awam. - Foto hiasan
Semua penjawat awam memainkan peranan memulihkan semula imej perkhidmatan awam. - Foto hiasan

Pulihkan semula imej perkhidmatan awam

PUTRAJAYA: Semua penjawat awam perlu memainkan peranan memulihkan semula imej perkhidmatan awam yang tercalar disebabkan tindakan segelintir mereka yang terbabit dengan rasuah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, statistik tahun lalu menunjukkan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam masih tinggi, dengan tahun lalu statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan 411 penjawat awam ditahan kerana terbabit aktiviti rasuah.

"Sekiranya kita ambil sikap tidak peduli terhadap kepentingan melaksanakan perubahan atau transformasi, perkhidmatan awam akan terjejas dan kita sebenarnya culas dalam melaksanakan amanah.

"Sebagai contoh pada 2021, statistik daripada SPRM menunjukkan jumlah penjawat awam yang ditangkap adalah 411 orang. Dalam hal ini kita harus memulihkan semula imej perkhidmatan kita dengan amalan budaya kerja berintegriti dan berprestasi tinggi," katanya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Khas Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2022, pagi tadi.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1.6 juta penjawat awam berkhidmat di negara ini.

Mohd Shafiq berkata, peranan serta tanggungjawab sebagai penjawat awam perlu sentiasa disemat kemas dalam minda serta hati nurani masing-masing dan sebarang tindakan diambil juga perlu menggambarkan identiti sebagai seorang penjawat awam.

"Teruskan menjadi penjawat awam berintegriti dan profesional. Apa sahaja yang kita sumbangkan dan usahakan, lambat laun akan memberi kesan yang baik kepada organisasi, masyarakat dan negara.

"Perkhidmatan kita adalah tanggungjawab kita," katanya.

Berita Harian X