Khamis, 17 Februari 2022 | 11:36am
 Foto hiasan
Foto hiasan

MPC tumpu peningkatan produktiviti 3.6 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menumpukan usaha peningkatan produktiviti sebanyak 3.6 peratus setahun untuk menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata MPC menggariskan pelbagai strategi dalam merealisasikan sasaran peningkatan produktiviti, sekali gus yakin strategi agresif yang berterusan itu adalah bertepatan dengan situasi ekonomi negara pada masa ini.

"Antara strategi yang dilaksanakan MPC adalah inisiatif dalam menghasilkan bakat masa hadapan yang menyasarkan 10,000 peningkatan kemahiran baharu pekerja sektor swasta dan awam.

"Selain itu, MPC turut memperkasa industri dalam melaksanakan program peningkatan produktiviti negara melalui platform Nexus Produktiviti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MPC juga memberi tumpuan kepada pengembangan teknologi dan digitalisasi yang mana usaha ini sejajar dengan inisiatif di bawah Dasar Negara Mengenai Industry4WRD yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Peranan MITI bersama MPC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mampu merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemboleh ubah strategik untuk memacu produktiviti negara," katanya.

MPC menyasarkan sebanyak 260 syarikat menerima kelulusan Penilaian Kesediaan (RA) pada tahun ini, kata Abdul Latif.

Katanya, bengkel digital MPC melalui Myreskill IOT yang disediakan kepada pekerja yang telah diberhentikan terutamanya di organisasi swasta turut meningkatkan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi.

"Kolaborasi bersama sektor awam dan swasta akan terus diperkukuh bagi melaksanakan inisiatif yang dirancang dalam pelan tindakan produktiviti di bawah Rangka Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) sejak 2018, terutamanya untuk 11 sub-sektor utama yang diterajui oleh Nexus Produktiviti," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X