Khamis, 17 Februari 2022 | 11:13am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Kaji semula organisasi awam demi perkhidmatan optimum - KPPA

PUTRAJAYA: Saiz, struktur dan fungsi organisasi awam perlu diteliti dan dikaji semula bagi memastikan tiada pertindihan, sekali gus memastikan perkhidmatan optimum dapat diberikan kepada rakyat.

Menerusi amanat sulung hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, berkata dalam memastikan organisasi awam efisien dan efektif, ketua jabatan perlu sentiasa meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa (business process re-engineering).

Beliau berkata, ia bagi memastikan organisasi terbabit sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang.

"Fungsi yang tidak lagi relevan hendaklah dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan perkhidmatan dengan lebih berkesan berpaksikan objektif penubuhan organisasi itu sendiri.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah pusat rujukan utama khususnya berkaitan pengurusan dan pembangunan sumber manusia. Sehubungan itu, perlu dipastikan segala dasar dan peraturan dikeluarkan adalah bertepatan dan relevan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan khas Amanat Datuk Seri KPPA 2022, yang disiarkan secara langsung melalui FB Live JPA, hari ini.

Landskap baharu organisasi awam itu adalah sebahagian daripada empat fokus utama yang perlu dititikberatkan penjawat awam dalam negara berdepan dengan pelbagai cabaran di dalam mahupun di peringkat global.

Mohd Shafiq adalah KPPA ke-25 yang mengambil alih tugas selepas Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman bersara pada 16 Januari lalu.

Pada masa sama, beliau berkata, semua dasar dan peraturan yang dikeluarkan agensi pusat seperti JPA perlu berteraskan kepada keperluan sebenar pelanggan dan berbentuk konsensus.

"Untuk itu suka saya menyarankan agar pembangunan pekeliling dan peraturan perlu dilaksanakan dengan lebih berhemah dan menyeluruh, dengan mengambil kira input dan pandangan terutamanya daripada pemegang taruh peraturan berkenaan.

"Malah, semua pekeliling sedia ada perlu segera dikaji semula sama ada masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa.

"Sesi libat urus yang dilaksanakan di peringkat awal pembangunan dasar akan dapat memastikan tidak timbul sebarang isu selepas dasar itu diperkenalkan," katanya.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata input atau maklumat juga perlu diperolehi daripada pelbagai pihak bagi memastikan dasar dan peraturan sentiasa relevan termasuk melalui sesi libat urus, 'townhall', dialog, kaji selidik, tinjauan secara atas talian dan turun padang.

Beliau berkata, ia perlu dijalankan bagi mendapatkan input atau data yang lebih berkualiti.

Katanya, pelaksanaan kaedah itu juga selari dengan konsep Seluruh Kerajaan dan Seluruh Masyarakat/Negara (Whole Of Government and Whole Of Society/Nation) yang dihasratkan kerajaan.

"JPA juga mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan program-program bawah Bajet 2022.

"Beberapa program dan aktiviti yang berkait secara langsung dengan RMKe-12 sudah dimulakan di JPA, terutamanya yang berkaitan dengan Bidang Keutamaan A Bab 13, melalui strategi Mentransformasi Perkhidmatan Awam dan Membentuk Pemimpin Masa Hadapan," katanya.

Mohd Shafiq turut menyentuh mengenai keperluan organisasi awam membentuk satu budaya kerja berprestasi tinggi dan budaya pengurusan tepat bagi menggalakkan percambahan idea dan menjana inovasi baharu.

Beliau berkata, antaranya penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), 'Robotic Process Automation' dan 'Internet of Things', sebagai antara medium untuk perkhidmatan awam mencipta inovasi-inovasi baharu yang lebih efisien.

Katanya, penggunaan teknologi sedemikian bukan sahaja mempunyai potensi untuk menambah baik cara kerja, malah mengubah cara rakyat berhubung dan berinteraksi dengan kerajaan.

Berita Harian X