Khamis, 17 Februari 2022 | 10:49am
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Empat fokus utama perkhidmatan awam untuk kekal relevan

PUTRAJAYA: Empat fokus utama perlu diberi perhatian dalam memastikan perkhidmatan awam menjadi organisasi kekal relevan berdepan pelbagai perubahan dan cabaran pada masa depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, berkata empat fokus utama adalah menyegar semula penjawat awam, landskap baharu organisasi awam, perkhidmatan awam kalis masa hadapan dan bergerak bersama ke hadapan.

Beliau berkata setiap perubahan memerlukan pemangkin dan penjawat awam adalah pemangkin kepada perubahan itu.

Katanya, penjawat awam berfungsi sebagai pengubah keadaan untuk masa depan yang lebih baik terutama sejarah sudah membuktikan mereka adalah ejen perubahan yang efektif dan tidak dapat dinafikan dalam pembinaan negara.

"Untuk perkhidmatan awam menjadi organisasi yang terus kekal relevan, saya ingin mengajak semua penjawat awam untuk bersama-sama mencipta sejarah baharu berlandaskan empat fokus utama iaitu, menyegar semula penjawat awam; landskap baharu organisasi awam, perkhidmatan awam kalis masa hadapan dan bergerak bersama ke hadapan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Khas Amanat Datuk Seri KPPA 2022, pagi ini.

Mohd Shafiq berkata, melalui fokus pertama, penjawat awam perlu mempunyai daya ketahanan yang tinggi, anjal, tangkas dan berinovasi yang dilengkapi dengan nilai integriti yang tinggi.

Beliau berkata, penjawat awam juga perlu berpaksi kepada rakyat dan berfikiran realistik serta sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pelbagai masalah merentas kementerian dan agensi demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, amalan itu akan dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam dan kepercayaan rakyat.

Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan juga perlu disampaikan dalam bentuk dinamik dan tidak rigid, serta memanfaatkan perkembangan teknologi semasa seperti platform digital selaras dengan inisiatif MyDigital.

Mohd Shafiq berkata, fokus kedua yang perlu diberikan penekanan menyaksikan organisasi awam perlu efisien dan efektif termasuk meneliti dan mengkaji segi saiz, struktur dan fungsi organisasi sedia ada bagi memastikan tiada pertindihan bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat adalah optimum.

Beliau berkata, perkhidmatan awam juga berdepan masa depan tidak menentu termasuk ketidakstabilan ekonomi global, masyarakat tua, penularan wabak pandemik, perubahan demografi dan ancaman perubahan iklim.

Justeru, beliau berkata, berdepan cabaran berkenaan, penjawat awam perlu bersiap siaga dan membuat persediaan rapi dari sekarang melalui platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan.

"Untuk mencapai matlamat ini, kita juga memerlukan keterangkuman idea dan jalinan kerjasama dari semua pihak termasuk pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai organisasi berasaskan komuniti.

"Sebagai penjawat awam kita perlu mengadaptasi semangat 'Keluarga Malaysia' yang inklusif iaitu kita harus saling membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan seterusnya memajukan negara," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan awam masa hadapan juga perlu bersifat dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat dan negara.

Katanya, ia perlu bersama-sama membangunkan negara ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang dan tidak mahu berlaku keciciran dalam melakukan lonjakan berganda terhadap ekonomi dan kesejahteraan negara.

"Apa yang saya sebutkan sebelum ini, adalah bertujuan untuk menjadikan penjawat awam sebagai pemangkin transformasi.

"Sekiranya kita ambil sikap tidak peduli terhadap kepentingan melaksanakan perubahan atau transformasi, perkhidmatan

awam akan terjejas dan kita sebenarnya telah culas dalam melaksanakan amanah," katanya.

Berita Harian X