Rabu, 16 Februari 2022 | 5:14pm
Gajah betina yang ditemui mati di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap, semalam. - Foto Ihsan Pembaca
Gajah betina yang ditemui mati di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap, semalam. - Foto Ihsan Pembaca

Segerakan pemulihan hutan demi lindungi gajah

ALOR SETAR: Program pemulihan hutan merosot sekitar Hutan Simpan Ulu Muda perlu disegerakan bagi mengembalikan semula fungsi kawasan itu sebagai platform ekosistem alam semula jadi.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata kepentingan Hutan Simpan Ulu Muda bukan sahaja sebagai sumber bekalan air, tetapi juga bagi menyeimbangkan hal perubahan iklim, kepelbagaian biologi dan kesejahteraan rakyat dan hidupan.

Beliau berkata, kawasan itu juga menjadi termasuk dalam usaha memelihara hidupan liar termasuk gajah kerana bilangan haiwan itu dan habitatnya semakin berkurangan.

"Apabila berlaku kes yang menimbulkan konflik antara manusia dan gajah, haiwan ini perlu dipindahkan ke tempat lain sehingga Malaysia cukup berpengalaman dalam pemindahan gajah.

"Jika kita ingin terus memelihara gajah di habitat asal mereka, kita perlu memahami lebih mendalam mengenai gajah iaitu kualiti habitat, populasi gajah, pemakanan, pergerakan dan keperluan kehidupannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian gajah betina yang ditemui mati di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pemerhatian berterusan terhadap haiwan liar memerlukan kepakaran, pengalaman, kemahiran dan sumber kewangan mencukupi.

Selain itu, katanya pembangunan sekitar kawasan legar gajah juga perlu diberikan perhatian segera.

"Pembukaan tanah untuk pertanian sama ada secara sah atau haram mesti diberikan pertimbangan wajar mengenai habitat gajah.

"Ini kerana kompleks Hutan Ulu Muda antara habitat penting gajah yang boleh diwarisi generasi akan datang. Mungkin dengan menguruskan populasi gajah, ia secara tidak langsung boleh menguruskan hutan ini secara terbaik," katanya.

Berita Harian X