Rabu, 16 Februari 2022 | 3:57pm
Penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan bekalan dan harga kit ujian pantas (RTK Antigen) COVID-19. - Foto KPNDHEP MELAKA
Penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan bekalan dan harga kit ujian pantas (RTK Antigen) COVID-19. - Foto KPNDHEP MELAKA

Kit ujian pantas COVID-19 di Melaka cukup

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi jaminan bekalan kit ujian pantas (RTK-Antigen) air liur di negeri ini adalah mencukupi walaupun kes harian meningkat.

Pengarahnya, Norena Jaafar, berkata hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati peniaga menjual produk berkenaan di bawah harga siling ditetapkan kerajaan.

"Kebelakangan ini, kes positif COVID-19 bertambah dan menimbulkan kerisauan serta menyebabkan permintaan naik mendadak, namun saya ingin memaklumkan bahawa bekalan kit mencukupi bagi kegunaan rakyat Melaka.

"Hasil pemeriksaan KPDNHEP sejak September 2021 hingga Januari 2022, sebanyak 1,148 premis menjual kit ujian diperiksa dan secara amnya, rata-rata menjual di bawah harga siling ditetapkan kerajaan. Kami juga juga tiada menerima sebarang aduan berkaitan bekalan mahupun harga jualan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih RM102,000 hasil kompaun dan denda dipungut KPDNHEP Melaka dalam tempoh 45 hari pertama tahun ini.

Norena berkata, sejak 1 Januari hingga Isnin lalu, sebanyak 6, 203 premis diperiksa pihaknya meliputi semua perniagaan, iaitu peruncit, pemborong dan pengilang serta peladang, selain menerima 91 aduan daripada pengguna, rata-ratanya membabitkan perihal barangan sebelum tindakan lanjut serta pemerhatian dijalankan segera.

"Dalam pemeriksaan KPDNHEP, sebanyak 75 kes dikesan dan daripada jumlah itu, kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 merekodkan kesalahan tertinggi dengan 54 kes, diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 (11), Akta Perlindungan Pengguna (7) serta Akta kawalan Bekalan (3).

"Dengan itu, kita mengeluarkan kompaun bernilai RM12,100 serta denda RM90,000 selain turut membuat rampasan dengan nilai RM1,080," katanya menambah, kerja penguatkuasaan dan pemantauan di negeri ini membabitkan 100 penguat kuasa.

Berita Harian X